Al Insan: Tips Melupakan Perkara yg buruk

Ahad, 12 April 2009

Tips Melupakan Perkara yg buruk



Ingatan manusia bukanlah seperti disket komputer yang sesenang hati boleh di’delete’ dan anda tak mungkin memperolehi maklumat tersebut lagi.semua orang mempunyai masalah yang sama. Jika berlaku sesuatu perkara yang tidak anda ingini di dalam hidup, anda pasti ingin melupakannya… jika boleh, anda ingin memadamnya dari ingatan anda seolah-olah ianya tidak pernah berlaku. Namun, yang menjadi masalahnya ialah, apabila anda berusaha untuk melupakannya, ianya semakin melekat di ingatan anda, betul kan?

Kenapakah ini boleh terjadi? Berusaha melupakan tetapi ianya makin membuatkan anda ingati perkara yang ingin dilupakan itu? Jika anda amati, sikap anda yang berusaha untuk melupakan itu sebenarnya adalah satu aktiviti mengingati perkara itu secara tidak anda sedar. Kenapa? Apabila anda cuba melupakan sesuatu, anda akan fikirkan mengenai perkara tersebut. Apabila anda memikirkan tentang perkara itu secara tidak langsung anda masih mengingati dan kerana itulah juga, anda sukar untuk melupakan sebaliknya anda makin ingat perkara yang ingin dilupakan itu.

Cara terbaik untuk mengingati ialah redha dengan segala yang telah terjadi. Semua itu adalah kehendak takdir. Percayalah, pasti ada hikmah di sebalik semua yang telah berlaku. Jangan paksa diri anda untuk melupakan perkara tersebut sebaliknya teruskan hidup anda seperti biasa. Biarkan semua itu berlalu dengan sendirinya. Sibukkan diri anda dengan sesuatu yang mampu mengalih fikiran anda daripada memikirkan tentang perkara itu. Sebagai contoh, ada orang yang dapat melupakan segala kekalutan hidupnya apabila menumpukan perhatian kepada kerjaya. Mungkin pada mulanya agak sukar tetapi anda perlu berusaha untuk mengalihkan perhatian anda daripada memikirkan perkara tersebut kepada memikirkan perkara lain.

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."
-Surah Al-Ankabut ayat 2-3

Setiap daripada kita mempunyai daya kekuatan ingatan yang tersendiri dan paling penting, kita perlu mampu menguasai pemikiran kira. Jangan biarkan anda dikuasai oleh pemikiran anda. Percayalah, jika anda berjaya menguasai pemikiran anda, anda adalah insan yang berjaya membentuk hidup anda. Kenapa? Saya pasti, anda selalu dengar tentang kata-kata yang juga telah pun menjadi lirik lagu: jika kau fikirkan kau boleh, kau pasti boleh melakukan, jika kau fikirkan ragu-ragu, usahamu tidak menentu. Hayati kata-kata ini…. inilah kekuatan pemikiran.

Jika anda berusaha untuk menumpukan pemikiran anda kepada hidup anda hari ini dan akan datang, secara tidak anda sedari anda telah dapat melupakan perkara yang ingin anda lupakan itu. Memang sukar melupakan sesuatu itu terus. Selagi masih ada hayat, apa sahaja yang berlaku di dalam hidup, pasti tidak dapat kita lupakannya terus. Namun, anda pasti dapat melupakannya seketika. Apabila anda meneruskan hidup seperti biasa, sibukkan diri anda dengan perkara-perkara lain seperti kerjaya atau pembelajaran anda, anda tidak akan memikirkan perkara yang tidak ingin anda kenang itu. Itulah namanya melupakan seketika.

Apabila anda telah berjaya melupakan seketika, bila tiba masanya anda mengenang semula perkara tersebut, anda akan rasa betapa hikmahnya perkara tersebut berlaku.

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." -Surah Al-Baqarah ayat 216

"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." -Surah Al-Baqarah ayat 286

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." -Surah Ali-Imran ayat 139

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)." -Surah Ali-Imran ayat 200

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk" -Surah Al-Baqarah ayat 45

"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain daripada-Nya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." -Surah At-Taubah ayat 129 ".....dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." -Surah Yusuf ayat 12

Tiada ulasan: