empat objektif utama syaitan ke atas manusia, iaitu:
1-Menyesatkan manusia.
2-Mengkafirkan manusia.
3-Memusyrikkan manusia.
4-Menjadikan manusia penghuni neraka.
syaitan memiliki pelbagai ciri dan kemampuan sebagaimana yang telah kita pelajari . syaitan menggunakan ciri-ciri dan kemampuan tersebut ke atas umat Islam untuk mencapai objektifnya.
Terdapat dua kaedah yang digunakan oleh syaitan untuk mencapai salah satu atau lebih dari empat objektifnya, iaitu:
Kaedah Pertama: Gangguan Secara Terus.
Kaedah ini lazimnya digunakan terhadap orang yang lemah penghayatan agamanya atau yang mengabaikan agamanya. Syaitan secara terus akan mengajaknya kepada kemungkaran yang jelas lagi diketahui ramai seperti minum arak, berzina, berjudi dan sebagainya. Allah Subhanahu wa Ta'alamenerangkan kaedah syaitan yang pertama ini:
Dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu
ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.
Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji,
dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui.
[al-Baqarah 2:168-169]
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan;
dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan,
maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh
(pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar.
[al-Nur 24:21]
Gangguan Secara Tipu Daya.
Kaedah ini lazim ditujukan kepada orang yang memiliki penghayatan agama atau berminat untuk meningkatkan penghayatan agamanya. Bagi orang seperti ini, kaedah gangguan secara terus jarang digunakan kerana mereka sudah mengetahui keharaman arak, judi dan zina. Maka syaitan menggunakan kaedah tipu daya, iaitu menggunakan pelbagai helah dan muslihat untuk menipu manusia sehingga akhirnya tercapai objektifnya. Tipu daya ini sukar untuk dikesan, bahkan orang yang mengalaminya merasai bahawa dia sedang berada di atas hidayah dan kebenaran.
Insya-Allah ,saya akan menyenaraikan tipu daya-tipu daya yang dimaksudkan, diikuti dengan beberapa contoh bagaimana syaitan menjalankan setiap dari tipu daya tersebut. Perkara penting yang perlu diingatkan di sini ialah cara syaitan menjalankan tipu dayanya tidak terhad kepada contoh yang yang di beri. Para pembaca sekalian hendaklah bijak mengkaji dan menganalisa untuk mengetahui cara-cara lain syaitan menggunakan sesuatu tipu dayanya.
Menakutkan Umat Islam.
Tipu daya yang pertama ini dapat kita pelajari dari ayat berikut:
Sesungguhnya yang demikian itu ialah syaitan
yang menakut-nakutkan (kamu terhadap) penolong-penolongnya.
Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka,
tetapi takutlah kepada-Ku (Allah) jika betul kamu orang-orang yang beriman.
[‘Ali Imran 3:175]
Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan tipu daya syaitan yang menakut-nakutkan umat Islam daripada berhadapan dengan musuh dalam Perang Uhud. Lalu Allah mengingatkan umat Islam agar tidak takut kepada musuh, sebaliknya takutlah kepada-Nya.
Pengajaran penting dari ayat ini ialah tipu daya syaitan untuk meresapkan perasaan takut ke dalam hati dan fikiran manusia. Perasaan takut ini tidak terhad kepada menghadapi musuh dalam peperangan, tetapi meluas kepada pelbagai urusan lain. Antaranya ialah menuntut ilmu.
Syaitan mengetahui bahawa untuk mencapai salah satu atau lebih dari empat objektifnya, ia perlu terlebih dahulu menjauhkan umat Islam dari ilmu berkenaan agama mereka. Syaitan mengetahui bahawa jika umat Islam menguasai ilmu agama, khususnya al-Qur’an dan al-Sunnah, amatlah sukar baginya untuk menyesat, mengkafir, memusyrik dan menjadikan umat Islam penghuni neraka. Oleh kerana syaitan tidak dapat menghapuskan al-Qur’an dan al-Sunnah, ia beralih kepada menjauhkan umat Islam dari al-Qur’an dan al-Sunnah.
Caranya? Lakukan tipu daya untuk menakutkan umat Islam dari menghampiri al-Qur’an dan al-Sunnah. Takutkan mereka dari menelaah al-Qur’an dan al-Sunnah. Takutkan mereka dari mendengar atau membaca sesuatu sumber ilmu yang dipenuhi dengan dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Untuk menakutkan umat Islam dari ilmu agama, syaitan memiliki 3 bisikan yang amat masyhur:
Bisikan Pertama:
“Siapa menuntut ilmu tanpa guru maka dia menuntut ilmu dengan syaitan”.
Bisikan ini amat masyhur sehingga ia berjaya menakutkan ramai umat Islam dari menuntut ilmu tentang agama mereka. Bahkan ada yang menganggapnya sebagai sebuah hadis.
Sebenarnya berguru memang penting dalam Islam. Maksud berguru ialah seorang yang rendah ilmunya menuntut daripada seorang yang lebih tinggi ilmunya. Cara atau sarana berguru boleh berbeza-beza seperti pembacaan, menonton program di TV, mendengar rakaman, berdialog di internet dan duduk berhadapan (face to face). Oleh itu, sebagai contoh, jika seseorang sedang membaca buku Imam al-Nawawi rahimahullah, bererti dia sedang berguru dengan beliau.
Akan tetapi syaitan telah masuk campur merosakkan maksud berguru. Ia membataskannya kepada berguru secara berhadapan sahaja (face to face). Syaitan mengetahui bahawa dengan pembatasan ini, ramai umat Islam tidak akan dapat menuntut ilmu. Ini kerana masing-masing sibuk dengan kuliah, kerja dan keluarga sehingga sukar untuk duduk berhadapan dengan guru kecuali untuk beberapa ketika. Selain itu sukar pula untuk mencari guru yang berilmu, amanah dan jujur untuk berguru secara face to face dengannya. Maka setelah melakukan pembatasan tersebut, syaitan menakutkan orang ramai bahawa jika mereka menuntut ilmu tanpa guru, yakni tanpa face to face dengan seorang guru, maka orang itu sedang menuntut ilmu dengannya.
Bisikan syaitan ini dapat dilawan dengan penjelasan bahawa sesiapa yang menuntut ilmu dengan apa jua cara, asalkan ikhlas demi memperbaiki agamanya, maka yang akan menjadi gurunya bukan syaitan tetapi Allah Subhanahu wa Ta'ala. Allah berjanji di dalam al-Qur’an:
Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh
kerana memenuhi kehendak agama Kami,
sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami;
dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah
adalah berserta orang-orang yang berusaha
membaiki amalannya.
[al-Ankabut 29:69]
Bisikan Kedua:
“Anda perlu menguasai bahasa arab terlebih dahulu. Tidak boleh belajar agama tanpa bahasa arab.”
Melalui bisikan ini syaitan sekali lagi dapat menakutkan orang ramai dari menuntut ilmu agama. Melalui bisikan ini ramai yang menggunakan masa dan tenaga yang dia miliki untuk belajar bahasa Arab. Bertahun-tahun belajar tetapi yang diketahui hanya sekadar “Aina anta?”
Sebenarnya pada masa kini, penguasaan bahasa Arab tidak perlu menjadi prioriti untuk menuntut ilmu agama. Ini kerana sudah terdapat banyak buku-buku bahasa Arab yang sudah diterjemah ke bahasa Malaysia, Indonesia dan Inggeris. Selain itu terdapat juga buku-buku dalam bahasa Malaysia, Indonesia dan Inggeris yang dikarang oleh penulis yang menguasai bahasa Arab dengan baik. Buku ini mewakili pelbagai subjek seperti aqidah, tafsir, hadis, fiqh, akhlak dan lain-lain. Semua ini memudahkan kita menuntut ilmu agama tanpa perlu menguasai bahasa Arab.
Dalam konteks ini, orang-orang yang ingin menuntut ilmu agama boleh dibahagikan kepada dua kumpulan:
Mereka yang memberi tumpuan kepada mempelajari bahasa Arab. Kumpulan ini lazimnya mengambil masa beberapa tahun belajar bahasa Arab dengan hajat ingin dapat membaca kitab-kitab klasik
[1] seperti Tafsir al-Qurtubi dan Syarh Shahih Muslim bi al-Nawawi. Setelah beberapa tahun, segelintir di antara mereka ada yang berjaya. Namun kebanyakan yang lain gagal. Dalam masa beberapa tahun tersebut, mereka masih jahil tentang agama dan jahil juga tentang bahasa Arab. Akhirnya mereka kecewa dan putus asa dari ingin menuntut ilmu agama.
Mereka yang memberi tumpuan kepada mempelajari ilmu-ilmu agama dari sumber bahasa yang mereka fahami. Dalam masa beberapa tahun, kumpulan ini sudah menguasai aqidah yang tulen, fiqh perbandingan antara empat mazhab dan akhlak yang selari dengan Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam. Mereka juga menguasai ilmu tafsir, hadis, fiqh dan lain-lain. Setelah itu mereka mula memberi tumpuan kepada mempelajari bahasa Arab.
Ini kerana pada tahap awal proses menuntut ilmu, bahasa Arab tidak penting. Akan tetapi pada tahap seterusnya, bahasa Arab menjadi penting untuk mereka melanjutkan kajian kepada sumber-sumber yang belum diterjemahkan. Bahasa Arab juga menjadi penting dalam rangka menjawab orang-orang yang kononnya ahli dalam bahasa Arab tetapi sengaja mengubah terjemahan ayat al-Qur’an, hadis atau perkataan ulama’ silam dalam kuliah atau tulisan mereka demi membenarkan pandangan mereka yang menyesatkan.
Oleh kerana kumpulan ini sudah memiliki penguasaan dalam sesuatu subjek, mudah untuk mereka menelaah subjek tersebut dari sebuah kitab berbahasa Arab. Sebagai contoh, sebuah kitab fiqh klasik dalam bahasa Arab akan mudah ditelaah oleh orang yang mahir dalam subjek fiqh sekali pun dia belum mahir dalam bahasa Arab. Berbeza dengan orang yang mahir dalam bahasa Arab tetapi lemah dalam subjek fiqh, dia akan mengalami kesukaran untuk menelaahnya.
Ringkasnya, menguasai bahasa Arab tidak menjanjikan penguasaan dalam ilmu-ilmu agama, apatah lagi penghayatannya. Syaitan telah berjaya menakut-nakutkan umat Islam dari menuntut ilmu-ilmu agama dengan meletakkan syarat penguasaan bahasa Arab terlebih dahulu. Lawanlah tipu daya syaitan ini dengan menuntut ilmu-ilmu agama dalam apa jua bahasa. Prioriti anda ialah aqidah dan asas-asas agama seperti ilmu berkenaan al-Qur’an dan al-Sunnah. Seterusnya ia diikuti dengan ibadah dan akhlak. Kemudian apabila anda memiliki masa dan tenaga yang lebih, berilah tumpuan kepada bahasa Arab.
Bisikan Ketiga:
“Saya takut hendak membaca dari sumber terjemahan kerana mungkin terdapat kesilapan terjemahan.”
Tidak ada buku yang sempurna dari kesilapan melainkan al-Qur’an. Selain al-Qur’an, kemungkinan wujudnya kesilapan memang ada. Demikian juga bagi buku-buku yang diterjemah dari bahasa Arab ke bahasa Malaysia, Indonesia dan Inggeris. Kemungkinan kesilapan memang ada. Akan tetapi kemungkinan tersebut amatlah kecil. Berdasarkan pengalaman saya membaca kitab terjemahan dan membandingkannya dengan kitab asal berbahasa Arab, berani saya katakan bahawa kemungkinan tersebut hanya sekadar 2 hingga 3 peratus. Hanya syaitan yang membesar-besarkannya kepada 20 hingga 30 peratus.
Lebih dari itu, kesilapan yang berlaku di sisi penterjemah boleh juga berlaku di sisi penterjemah yang lain. Jika anda menguasai bahasa Arab, anda juga akan membuat kesilapan ketika membaca sesebuah kitab, khasnya kitab klasik yang ditulis pada zaman awal dan pertengahan Islam.
Oleh itu lawanlah bisikan syaitan ini dengan cara menelaah sesebuah buku terjemahan dengan teliti. Jika menemui sebuah kenyataan yang memusykilkan, bertanyalah kepada orang yang mahir dalam subjek tersebut. Insya-Allah dia akan dapat menerangkan sama ada itu satu kesilapan terjemahan atau kemusykilan yang sebenarnya satu kebenaran.
Demikian tiga contoh bisikan syaitan yang masyhur dalam rangka menakutkan umat Islam dari menuntut ilmu agama. Sungguh, apabila iblis berjanji di hadapan Allah: “Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga Hari Kiamat, tentulah aku akan menyesatkan zuriat keturunannya (manusia), kecuali sedikit (di antaranya).” [al-Isra’ 17:62], ia tidak sangka bahawa amatlah mudah untuk melaksanakan janjinya itu. Buktinya dapat dilihat pada masa kini dimana majoriti dari umat Islam amat takut untuk belajar berkenaan agama mereka. Sekali pun sebahagian dari mereka memiliki kelulusan pendidikan yang amat tinggi, mereka amat takut untuk belajar tentang Islam. Mereka mencukupkan diri dengan apa yang dipelajari di bangku sekolah.
Apabila umat Islam tetap berada dalam keadaan jahil, mudah bagi syaitan untuk mencapai objektifnya menyesat, mengkafir, memusyrik dan menjadikan umat Islam penghuni neraka. Atas tipu daya syaitan ini, kita akan temui kebanyakan orang yang memiliki penghayatan agama melaksanakan penghayatan tersebut hanya dengan mengikuti orang-orang sebelum mereka atau kumpulan tertentu. Amat sedikit yang menghayati agama berdasarkan kefahaman yang jitu berkenaan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih serta teladan generasi al-Salaf al-Shalih.
Bahkan tanpa ilmu agama yang sahih, iaitu ilmu yang berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah, mudah untuk syaitan mencapai objektifnya itu dengan melakukan tipu daya memperindahkan sesuatu yang sebenarnya mungkar. Tipu helah ini akan kita kaji seterusnya insya-Allah.
Maka kepada para pembaca sekalian, jika terlintas di hati anda perasaan takut untuk menuntut ilmu, ketahui bahawa itu adalah lintasan dari syaitan. Ucaplah “A’uzubillahi minas syaitan nirrajim” dan terus memberanikan diri anda untuk menuntut ilmu.
[2] Selain menakutkan umat Islam dari menuntut ilmu, syaitan juga menakutkan umat Islam dengan cara-cara berikut:
Ø Menakutkan dari menyampaikan ilmu yang hak. Bagi orang yang berilmu, syaitan menakutkan mereka dari menyampaikan kebenaran. Konon, jika dia menyampaikan kebenaran, dia akan kehilangan kerja atau akan disisih oleh masyarakat.
Ø Menakutkan dari bersedekah. Bagi yang ingin bersedekah, syaitan berbisik bahawa sedekah itu hanya akan merugikan dia atau orang yang dia sedekahkan itu akan mensia-siakan sedekah tersebut.
Ø Menakutkan dari bersikap jujur. Syaitan banyak mengganggu dengan ketakutan ini. Syaitan menghasut, konon martabat dan harga diri seseorang akan jatuh jika dia bersikap jujur untuk meminta maaf atas sesuatu kesilapannya atau berkata “Saya tidak boleh melakukannya” untuk sesuatu permintaan.
Oleh kerana itu dua frasa yang paling sukar untuk disebut ialah “Maaf, saya silap” dan “Saya tidak boleh”. Semakin tinggi kedudukan atau kemasyhuran seseorang, semakin sukar untuk dia menyebut dua frasa tersebut. Ramai memilih untuk bersikap diam atau membuat alasan-alasan yang lain, padahal sikap seperti itulah yang sebenarnya menjatuhkan martabatnya dan memurahkan harga dirinya.
Tipu Daya # 2: Memperindahkan Perkara Mungkar.
Apabila syaitan diusir dari langit, ia berjanji:
Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat,
(maka) demi sesungguhnya aku akan memperindahkan
(segala jenis kemungkaran) kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini,
dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.”
[al-Hijr 15:39]
Tipu daya ini telah dilaksanakan oleh syaitan kepada setiap generasi umat manusia dari awal:
Demi Allah! Sesungguhnya kami juga telah mengutus Rasul-rasul
kepada umat-umat yang terdahulu daripadamu (wahai Muhammad),
lalu syaitan memperindahkan pada (pandangan) mereka
akan amal-amal mereka (yang sebenarnya mungkar);
maka Dia-lah menjadi pemimpin mereka pada hari ini (Hari Kiamat)
dan mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[al-Nahl 16:63]
Maksud memper-indahkan perkara mungkar ialah memberi pengaruh palsu kepada umat Islam bahawa apa yang sedang mereka lakukan adalah amal shalih yang baik lagi sesuai dengan Islam. Akan tetapi yang benar apa yang sedang dilakukan itu adalah amal mungkar yang buruk lagi bertentangan dengan Islam. Amatlah mudah bagi syaitan untuk memperindahkan sesuatu yang sebenarnya mungkar kerana sejak awal ia telah berjaya menakutkan umat Islam dari menuntut ilmu (Tipu Daya # 1). Tanpa ilmu, umat Islam tidak dapat mengukur baik atau buruk sesuatu perkara berdasarkan ukuran al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.
Terdapat beberapa cara syaitan memperindahkan perkara mungkar. Antaranya ialah dengan memberi nama-nama yang indah kepada sesuatu yang sebenarnya haram. Ini dapat kita pelajari dari pengalaman Nabi Adam ‘alaihi salam. Ketika Adam berada dalam syurga, Allah Subhanahu wa Ta'alaberpesan kepadanya, bahawa dia boleh memakan apa jua yang dia sukai kecuali satu jenis pohon (pokok):
Dan kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga,
dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai,
dan janganlah kamu hampiri pohon ini;
(jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu
dari golongan orang-orang yang zalim.”
[al-Baqarah 2:35]
Syaitan ingin mengeluarkan Adam dari syurga. Bagaimana caranya? Ahaa! Tukar nama pohon yang “dilarang” kepada nama yang lebih indah, seperti pohon yang “memberi kehidupan dan kekuasaan yang kekal abadi”. Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan tipu daya syaitan ini:
Setelah itu maka syaitan membisikkan kepadanya dengan berkata:
“Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu
pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya,
dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”
[Ta-Ha 20:120]
Tipu daya syaitan dalam memperindahkan perkara mungkar tidak terhad kepada menukar nama. Pada kesempatan ini saya ingin berikan dua contoh amalan yang lazim dilakukan oleh masyarakat yang telah diperindahkan oleh syaitan.
Contoh Pertama: Zikir Berirama.
Pada masa kini terdapat satu amalan yang semakin meningkat kemasyhurannya, iaitu zikir dengan suara yang kuat (jahr) secara beramai-ramai dengan mengikuti irama atau rentak tertentu. Zikir berirama sebenarnya sudah wujud pada zaman pertengahan Islam. Akan tetapi pada masa kini dengan adanya teknologi moden seperti mikrofon, alat pembesar suara, kaset, cakera padat dan sebagainya, zikir berirama pantas mendapat tempat di hati orang ramai.
Apabila ditanya, kenapa kalian suka kepada zikir berirama? Mereka menjawab bahawa zikir berirama menghasilkan banyak kebaikan seperti hati yang khusyuk dan jiwa yang terasa seolah-olah diberi suntikan hidup yang baru (revitalized and recharged). Sebahagian lain menjawab, keindahannya tidak dapat digambarkan dengan perkataan. Kemudian mereka mengemukakan ayat berikut sebagai hujah:
(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah.
Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.
[al-Ra’d 13:28]
Sebenarnya yang mengindahkan zikir berirama ialah syaitan. Syaitan mengindahkannya agar dengan itu umat Islam terhindar dari zikir yang sebenarnya disyari‘atkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala,iaitu:
Dan sebutlah serta ingatlah (zikir) akan Tuhanmu dalam hatimu
dengan merendah diri serta dengan perasaan takut,
dan dengan tidak pula menguatkan suara (jahr) pada waktu pagi dan petang,
dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.
[al-A’raaf 7:205]