Al Insan: 2018-06-24

Khamis, 28 Jun 2018

NERAKA ITU GELAP WALAU TERDAPAT BANYAK NYA API



Orang-orang yang mengerjakan kejahatan (mendapat) balasan yang setimpal dan mereka ditutupi kehinaan. Tidak ada bagi mereka seorang pelindungpun dari (azab) Allah, seakan-akan muka mereka ditutupi dengan kepingan-kepingan malam yang gelap gelita. Mereka itulah penghuni neraka.” (QS. Yunus: 27)


Atau seperti gelap gulita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak, yang di atasnya ombak (pula), di atasnya (lagi) awan; gelap gulita yang bertumpuk-tumpuk… (QS. an-Nur: 40)

Selasa, 26 Jun 2018

BUKTI ALLAH DI ATAS LANGIT: AL-QURAN, AS-SUNNAH, IJMAK, ATSAR SALAF & HUJAH AKAL.

MEMBANTAH ARTIKEL ALLAH BUKAN DI ATAS LANGIT.

Telah tersebar satu artikel yang menyatakan bahawa aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah adalah Allah bukan di atas langit. Saya dapati artikel tersebut adalah satu penyimpangan dan terdapat kesalahan yang berat.

1. Ucapan Ali bin Abi Talib RA yang diriwayatkan oleh Abdul Qahir Al-Baghdadi adalah palsu. Ia tidak sahih, malah tiada sebarang sanad sama sekali.

2. Kitab Fiqh Al-Akbar yang disandarkan kepada Abu Hanifah RH adalah tidak sahih. Dalam rantaian sanad kitab tersebut ada perawi yang bermasalah.

3. Ucapan Al-Imam Asy-Syafie yang dinukilkan oleh az-Zabidi dalam Ithaf As-Saadat Al-Muttaqin Syarh Ihya Ulumiddin adalah palsu. Tiada sebarang sanad sehinggan Al-Imam Asy-Syafie.

4. Ayat Al-Quran dan As-Sunnah yang dijadikan hujah menafikan Allah di atas adalah samar-samar dan tidak jelas menafikan Allah di atas. Bahkan, ayat Al-Quran dan hadis yang membuktikan Allah di atas adalah lebih banyak dan lebih jelas.

Saya tidak berhasrat membantah satu persatu hujah mereka secara terperinci di sini. Di sini, saya berhasrat membawa bukti aqidah Allah di atas berdasarkan ayat Al-Quran dan As-Sunnah yang jelas, ijmak dan hujah akal.

.

AL-QURAN DAN AS-SUNNAH.

الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى

"Tuhan yang Maha Pengasih beristiwa di atas Arasy." (Surah Taha: 5)

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَىٰ عَلَى الْعَرْشِ ۖ مَا لَكُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا شَفِيعٍ ۚ أَفَلَا تَتَذَكَّرُونَ

"Allah yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia beristiwa di atas ‘Arsy. Bagimu tidak ada seorang pun penolong mahupun pemberi syafaat selain daripada Dia. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?" (Surah As-Sajadah: 4)

تَعْرُجُ الْمَلائِكَةُ وَالرُّوحُ إِلَيْهِ

“Naik para malaikat dan Jibril kepada-Nya...” (Surah Al-Maarij: 4)

أَأَمِنتُم مَّن فِي السَّمَاءِ أَن يَخْسِفَ بِكُمُ الْأَرْضَ فَإِذَا هِيَ تَمُورُ

“Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan yang di langit itu: menunggang-balikkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta-merta (melenyapkan kamu di bawahnya)?” (Surah Al-Mulk: 16)

Mu’awiyah bin al-Hakam as-Sulami RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bertanya kepada seorang hamba wanita:

أَيْنَ الله؟ قَالَتْ فِى السِّمَاءِ قَالَ: مَنْ أَنَا؟ قَالَتْ: أَنْتَ رَسُوْلَ اللهِ قَالَ: أَعْتِقْهَا فَإِنَّهَا مُؤْمِنَةٌ.

“Di manakah Allah? Hamba itu menjawab: Di atas langit. Baginda bertanya lagi: Siapakah saya? Hamba itu menjawab: Anda Rasulullah. Maka bersabda baginda: Bebaskanlah dia kerana sesungguhnya dia adalah seorang yang beriman.” (Sahih Muslim, no. 537)

Rasulullah SAW berkata:

يَتَعَاقَبُونَ فِيكُمْ مَلَائِكَةٌ بِاللَّيْلِ وَمَلَائِكَةٌ بِالنَّهَارِ وَيَجْتَمِعُونَ فِي صَلَاةِ الْعَصْرِ وَصَلَاةِ الْفَجْرِ ثُمَّ يَعْرُجُ الَّذِينَ بَاتُوا فِيكُمْ فَيَسْأَلُهُمْ وَهُوَ أَعْلَمُ بِكُمْ فَيَقُولُ كَيْفَ تَرَكْتُمْ عِبَادِي فَيَقُولُونَ تَرَكْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ وَأَتَيْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ

"Di tengah-tengah kamu ada malaikat yang silih berganti bertugas mengiringi kamu di waktu malam dan siang, mereka berkumpul ketika solat Asar dan solat Subuh. Malaikat yang mengawasi amal kamu pada malam hari naik ke langit lantas Allah bertanya mereka - dan Allah lebih tahu keadaan kamu - bagaimana kamu tinggalkan hamba-hamba-Ku? Para malaikat menjawab, 'Kami tinggalkan mereka sedang mereka tengah mendirikan solat, dan kami datangi mereka sedang mereka mendirikan solat'.” (Sahih Al-Bukhari, no. 6878)
.

IJMAK ULAMA.
.

Berkata Ibnu Abi Zaid Al-Qairuwani (Wafat 386 Hijrah):

فمما أجمعت عليه الأمة من أمور الديانة، ومن السنن التي خلافها بدعة وضلالة...وأنه فوق سماواته على عرشه دون أرضه وأنه في كل مكان بعلمه.
“Maka daripada apa yang telah disepakati oleh umat mengenai urusan agama, sunnah-sunnah yang menyelisihinya perkara bidaah dan kesesatan... dan Allah berada di atas langit-Nya, di atas Arasy-Nya, bukannya di bumi-Nya, dan Dia berada di setiap tempat dengan ilmu-Nya.” (Al-Jami’ Fii As-Sunan Wa Al-Adab Wa Al-Maghazi Wa At-Tarikh, hal. 107-108)

Berkata Ibnu Baththah (Wafat 387 Hijrah):

وأجمع المسلمون من الصحابة والتابعين وجميع أهل العلم من المؤمنين أن الله تبارك وتعالى على عرشه فوق سماواته بائن من خلقه وعلمه محيط بجميع خلقه
“Dan telah sepakat umat Islam daripada kalangan sahabat, tabiin dan tabi’-tabiin serta seluruh ulama daripada kalangan orang beriman bahawa Allah tabaraka wa ta’ala di atas Arasy-Nya, di atas langit-Nya terpisah daripada makhluk-Nya dan ilmu-Nya meliputi seluruh makhluk-Nya.” (Al-Ibanah Al-Kubra, 7/136)

Berkata Abu Nashr as-Sajzi (Wafat 444 Hijrah):

أئمتنا كسفيان الثوري، ومالك، وحماد بن سلمة، وحماد بن زيد، عبد الله بن المبارك، والفضيل بن عياض، وأحمد بن حنبل، وإسحاق بن راهويه متفقون على أن الله سبحانه وتعالى بذاته فوق العرش، وعلمه بكل مكان
“Para imam kita seperti Sufyan ats-Tsauri, Malik bin Anas, Hammad bin Salamah, Hammad bin Zaid, Abdullah bin Al-Mubarak, Al-Fudhail bin Iyadh, Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Rahuyan, mereka telah sepakat bahawa Allah SWT dengan zat-Nya berada di atas Arasy dan ilmu-Nya berada di setiap tempat.” (Al-Arasy, 2/352-353)
.

ATSAR SAHABAT DAN SALAFUS SOLEH.
.

1. ABU BAKAR ASH-SHIDDIQ RA.

Daripada Abdullah bin Umar, daripada Abu Bakr Ash-Shiddiq berkata:

أيها الناس ، إن كان محمد إلهكم الذي تعبدون فإن إلهكم قد مات ، وإن كان إلهكم الذي في السماء فإن إلهكم لم يمت
“Wahai sekalian manusia! Seandainya Muhammad adalah tuhan kamu yang kamu sembah, maka sesungguhnya tuhan kamu telah mati. Namun, sekiranya Tuhan kamu adalah yang di atas langit, maka tuhan kamu tidak akan mati.” [Al-Mushannaf Ibnu Abi Syaibah, jil. 22, hal. 126-127 – sanadnya sahih]

2. UMAR BIN AL-KHATTAB RA.

Daripada Qais bin Abu Hazim, katanya:

لما قدم عمر الشام استقبله الناس وهو على بعيره فقالوا يا أمير المؤمنين لو ركبت برذونا يلقاك عظماء الناس ووجوههم ، قال : فقال عمر ألا أراكم هاهنا إنما الأمر من هاهنا وأشار بيده إلى السماء خلوا سبيل جملي
“Ketika Umar bin Al-Khattab tiba di Syam, beliau disambut oleh orang ramai sedang beliau berada di atas untanya. Mereka berkata: Wahai Amirul Mukminin, seandainya engkau menunggang kuda pasti para pembesar akan datang menghadap kepadamu dengan wajah mereka. Berkata Umar: Tidaklah aku peduli pandangan kamu di sini. Sesungguhnya urusan  itu adalah daripada atas sini - sedang dia mengisyaratkan tangannya ke langit. Berikanlah laluan untuk untaku.” [Al-Mushannaf Ibnu Abi Syaibah, jil. 19, hal. 301 – sanadnya sahih]

3. ISTERI NABI, ZAINAB BINTI JAHSYI RA.

Isteri Nabi, Zainab bin Jahsyi berkata:

زوجكن أهلوكن وزوجني الله من فوق سبع سماوات
"Kamu dikahwinkan oleh ahli keluarga kamu sedang aku dikahwinkan oleh Allah daripada atas tujuh lapisan langit." [Sunan at-Tirmidzi, no. 3213 –hasan sahih]

4. ABDULLAH BIN UMAR RA.

مر عبد الله بن عمر براع ، فقال : " يا راعي الغنم ، هل من جزرة ؟ قال الراعي : ليس هاهنا ربها ، فقال له ابن عمر : تقول له : إنه أكلها الذئب ، قال : فرفع الراعي رأسه إلى السماء ، ثم قال : فأين الله ؟ ! قال ابن عمر : فأنا والله أحق أن أقول : أين الله ، فاشترى ابن عمر الراعي ، واشترى الغنم فأعتقه وأعطاه الغنم
“(Pada suatu ketika) Abdullah bin Umar melewati seorang pengembala kambing, lalu beliau berkata:  Adakah haiwan yang boleh disembelih? Pengembala kambing tadi mengatakan: Pemiliknya tidak ada di sini. (ternyata penggembala tersebut adalah seorang hamba sahaya). Abdullah bin Umar berkata (untuk menguji keimanan penggembala tersebut): Katakan sahaja pada pemiliknya bahawa ada serigala yang telah memakannya. Kemudian pengembala tersebut mengangkat kepalanya (melihat) ke langit, lalu mengajukan pertanyaan pada Abdullah bin Umar: Jika begitu, di manakah Allah? Mendengar itu Abdullah bin Umar lalu berkata: Demi Allah, seharusnya aku yang lebih berhak bertanya kepadamu ‘Di mana Allah?’.
(Apabila melihat keimanan penggembala itu), Abdullah bin Umar membeli penggembala tersebut dan kambing yang digembalanya, setelah itu beliau memerdekakan penggembala tersebut dan memberikan kambing-kambing tersebut kepadanya. [Mu’jam Al-Kabir, no. 13054 – sanadnya jayyid]

5. MALIK BIN ANAS.

اللَّهُ فِي السَّمَاءِ وَعِلْمُهُ فِي كُلِّ مَكَانٍ لَا يَخْلُو مِنْهُ شَيْءٌ
“Allah di atas langit dan ilmu-Nya (meliputi) di setiap tempat.” (As-Sunnah Li Abdullah bin Ahmad 1/111, Ar-Raddu Ala Al-Jahmiyyah Li Ad-Darimi)

6. AHMAD BIN HANBAL.

Saat membantah Jahmiyyah, Ahmad bin Hanbal berkata:
قلنا لهم: لم أنكرتم أن يكون الله على العرش، وقد قال: {الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى}؟
Kami katakan kepada mereka; mengapa kamu mengingkari bahawa Allah di atas Arasy, sedakan Dia telah berkata ‘Tuhan yang Maha Pengasih beristiwa di atas Arasy.’ – Taha: 5 (Ar-Raddu Ala Al-Jahmiyyah wa Az-Zanadiqah, hal. 287)

7. ABDULLAH BIN AZ-ZUBAIR AL-HUMAYDI.

ونقول الرحمن على العرش استوي ومن زعم غير هذا فهو معطل جهمي
“Dan kami (Ahli Sunnah) berkata Allah yang Maha Pengasih meninggi di atas Arasy (Taha: 5) dan sesiapa yang berpegang selain daripada ini, maka dia adalah Muattilah Jahmiyyah.” (Ushulus Sunnah di penghujung Musnad Al-Humaydi, 2/361)

8. MUHAMMAD BIN ISMAIL AL-BUKHARI.

Dalam kitab Tauhid, Sahih Al-Bukhari, Al-Bukhari membawa kata-kata Abu Al-Aliyah dan Mujahid dalam menafsirkan perkataan ‘istiwa’.

قال أبو العالية (استوى إلى السماء ) : ارتفع.. وقال مجاهد : استوى : علا على العرش
Berkata Abu Al-Aliyah ‘Istiwa ke atas langit’ maksudnya adalah meninggi.. Dan berkata Mujahid ‘Istiwa’ maksudnya adalah tinggi di atas Arasy.

Selain itu dalam kitab Khalqu Af’al Al-Ibad, Al-Bukhari telah menukilkan riwayat-riwayat para ulama mengatakan Allah di atas.

9. ABU ISA AT-TIRMIDZI.

وَفَسَّرَ بَعْضُ أَهْلِ الْعِلْمِ هَذَا الْحَدِيثَ فَقَالُوا إِنَّمَا هَبَطَ عَلَى عِلْمِ اللَّهِ وَقُدْرَتِهِ وَسُلْطَانِهِ وَعِلْمُ اللَّهِ وَقُدْرَتُهُ وَسُلْطَانُهُ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَهُوَ عَلَى الْعَرْشِ كَمَا وَصَفَ فِي كِتَابهِ
“Dan sebahagian ulama menafsirkan hadis ini, mereka berkata: Sesungguhnya ia turun di atas ilmu Allah, kekuatan-Nya dan kekuasaan-Nya. Sedangkan ilmu Allah, kekuatan-Nya dan kekuasaan-Nya berada di setiap tempat dan Dia berada di atas Arasy seperti mana dia sifatkan dalam kitab-Nya – Al-Quran.” (Sunan At-Tirmidzi, 5/326)

HUJAH AKAL YANG SEJAHTERA.

Saya kata: Kita sama-sama akui Allah itu wujud dan tiada sesuatu pun yang wujud bersama-Nya. Kemudian Allah mencipta makhluk-Nya. Saat Allah cipta makhluk Dia, adakah kewujudan makhluk itu bersatu dengan kewujudan Allah atau terpisah?

Jika kamu jawab: bersatu, maka itu adalah kufur. Pastinya itu akan membuatkan syaitan dan Iblis bersatu dengan Allah juga.

Jika kamu jawab: berasingan, maka itu adalah benar.

Seterusnya, apabila Allah mencipta makhluk-Nya, di manakah kedudukan yang layak buat makhluk. Adakah di atas kewujudan zat Allah atau berada di bawah zat-Nya?

Jika kamu jawab: Makhluk wujud di atas, zat Allah berada di bawah, maka itu kufur. Jika kamu jawab makhluk wujud di bawah, zat Allah atas, maka itulah yang benar, maka demikianlah aqidah kita.

Hujah akal ini adalah berdasarkan kata-kata Imam Ahmad bin Hanbal dan Ar-Raddu Ala Al-Jahmiyyah Wa Az-Zanadiqah saat berhadapan dengan Jahmiyyah yang mengingkari Allah berada di atas, terpisah daripada makhluk-Nya.

Demikianlah bukti daripada Al-Quran dan As-Sunnah, ijmak, atsar para Salafus Soleh dan hujah akal.
.

.

BUKTI AQIDAH MENAFIKAN ALLAH DI ATAS ADALAH AQIDAH JAHMIYYAH.
.

Di sini adalah kata-kata para ulama Salaf yang jelas menentang aqidah Jahmiyyah yang menafikan Allah di atas.

1. ALI BIN ASHIM AL-WASITHI (Wafat: 107 Hijrah) berkata:

احذر من المريسي وأصحابه فإن کلامهم أبيجاد الزندقة وأنا کلمت أستاذهم جهم فلم يثبت أن في السماء إلها
"Berhati-hatilah (yakni jauhkan diri) daripada al-Marisi dan pengikut-pengikutnya, sesungguhnya ucapan mereka pintu Zindiq. Aku pernah berkata dengan guru mereka Jahm bin Safwan, maka dia tidak mengisbatkan bahawa Tuhan di langit." (Khalqu Af’al Al-Ibad, jil. 2, hal. 19)

2. ABDURRAHMAN BIN MAHDI (Wafat 198Hijrah) berkata:

إن الجهمية أرادوا أن ينفوا أن يكون الله كلم موسى ، وأن يكون استوى على العرش
“Sesungguhnya golongan Jahmiyyah hendak menafikan bahawa Allah berkata dengan Nabi Musa AS dan menafikan Dia meninggi di atas Arasy.” (Al-Uluw Lil Aliy Al-Ghaffar, hal. 159)

3. ALI BIN AL-HASAN BIN SYAQIQ (Wafat 215 Hijrah) berkata:

سألت ابن المبارك : كيف ينبغي لنا أن نعرف ربنا ؟ قال على السماء السابعة على عرشه ، ولا نقول كما تقول الجهمية إنه هاهنا في الأرض
“Aku bertanya kepada Abdullah bin Al-Mubarak: Bagaimanakah yang seharusnya untuk kita mengenali Tuhan kita? Beliau menjawab: Dia di atas langit yang ketujuh, di atas Arasy-Nya dan kita tidak berkata sepertimana dikatakan oleh Jahmiyyah bahawa Dia berada di sini, di bumi.” (Siyar A’lam An-Nubala, juz. 8, hal. 402-403)

4.WAHHAB BIN JARIR (Wafat 206 Hijrah) berkata:

الجهمية الزنادقة إنما يريدون أنه ليس على العرش استوى
“Jahmiyyah Zindiq, sesungguhnya mereka mahu menyatakan bahawa Allah tidak meninggi di atas Arasy.” (Khalqu Af’al Al-Ibad, jil. 2, hal. 11-12)

5. SAID BIN AMIR ADH-DHUBAIE (Wafat 208 Hijrah) berkata:

الجهمية شر قولا من اليهود والنصاري، قد اجتمعت اليهود والنصاري وأهل الأديان أن الله تبارک وتعالى على العرش، وقالو هم ليس على العرش شىء
"Jahmiyyah mempunyai pendapat yang lebih buruk berbanding Yahudi dan Nasrani. Telah sepakat Yahudi dan Nasrani dan para ahli agama, bahawa Allah tabaraka wa taala di atas Arasy, manakala mereka (Jahmiyyah) berkata, tiada apa-apa di atas Arasy." (Khalqu Af'al Al-Ibad, jil. 2, hal. 17)

6. ABDULLAH BIN AZ-ZUBAIR AL-HUMAYDI (Wafat 219 Hijrah) berkata:
ونقول الرحمن على العرش استوي ومن زعم غير هذا فهو معطل جهمي
“Dan kami (Ahli Sunnah) berkata Allah yang Maha Pengasih meninggi di atas Arasy (Taha: 5) dan sesiapa yang berpegang selain daripada ini, maka dia adalah Muattilah Jahmiyyah.” (Ushulus Sunnah di penghujung Musnad Al-Humaydi, jil. 2, hal. 361)

7. ABU MA’MAR AL-QATHIE (Wafat 236 Hijrah) berkata:

آخر كلام الجهمية أنه ليس في السماء إله
“Kata-kata terakhir golongan Jahmiyyah (sebelum meninggal dunia) adalah tiada Tuhan di langit.” (Siyar A’lam An-Nubala, juz 11, hal. 80)

8. MUHAMMAD BIN USTMAN BIN ABI SYAIBAH (Wafat 297 Hijrah) berkata:

الجهمية يقولون ليس بين الله عز وجل وبين خلقه حجاب وأنکروا  العرش وأن يکون الله فوقه وفوق السموات
Para ulama berkata bahawa golongan Jahmiyyah mengatakan tiada hijab antara Allah dan hamba-Nya, dan mereka mengingkari Arasy dan adanya Allah di atasnya dan atas lapisan langit." (Al-Arasy Wama Ruwiya Fihi, hal. 279-281)

Demikianlah perkataan ulama Salafus Soleh mengenai mereka yang menafikan Allah di atas langit.
.

Allah Maha Mengetahui.
.


Silakan klik butang KONGSI dan SEBARKAN..

Isnin, 25 Jun 2018

Umur Aishah RA berkahwin

UMUR AISHAH 16 TAHUN KETIKA BERKAHWIN DENGAN BAGINDA SAW
 Seorang ulama Pakistan, Allama Habibul Rahman Kandhalwi telah membuat kajian mendalam mengenai kekeliruan sejarah usia Saidatina Aisyah Binti Abu Bakar r.a. ketika berkahwin dengan Rasulullah SAW dan juga beliau mengkaji usia Saidatina Khatijah ketika berkahwin dengan Rasulullah SAW dan usia anak perempuan Nabi SAW ketika berkahwin dengan Saidina Ali ra.
 Beliau telah mengemukakan 24 dalil akli dan naqli bagi menolak pendapat lama dan menyatakan penyelewengan sejarah itu berpunca daripada propaganda Syiah yang mahu merosakkan pemikiran umat Islam. Syiah banyak membuat pemalsuan di atas sejarah Islam terutama umur isteri-isteri Rasulullah SAW yang dikahwini oleh baginda SAW.
 Melalui pembuktian baru ini, beliau menghidangkan fakta baru kepada seluruh umat Islam bahawa:
 1. Saidatina Aisyah r.ha telah berkahwin pada usia yang sesuai iaitu 16 tahun (bukannya 6 tahun) dan mula tinggal bersama suaminya Muhammad SAW ketika umurnya 19 tahun (bukannya 9 tahun) selepas peristiwa hijrah ke Madinah.
 2. Umur Saidatina Khadijah ra ialah 25 tahun (bukannya 40 tahun) semasa beliau berkahwin dengan Nabi Muhamad SAW yang mana ketika itu juga baginda berusia 25 tahun. Kedua-duanya sebaya. Sejarah mencatatkan perkahwinan mereka berdua dikurniakan empat cahaya mata perempuan dan tiga orang lelaki.
 3. Saidatina Fatimah r.ha telah dilahirkan di Makkah sebelum Nabi SAW dilantik sebagai rasul dan berkahwin dengan Saidina Ali RA di Madinah pada usia 19 tahun (bukannya 9 tahun).
 Maulana Habibul Rahman menulis kertas kerja pada mulanya dalam bahasa urdu dan kini sudah ada terjemahan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu bagi membetulkan tanggapan salah sejarah.
 Maulana Asri Yusuf seorang ahli hadis Malaysia turut bersetuju dengan cara pemikiran Maulana Habibul Rahman dan beliau telah menghuraikan dengan panjang lebar hujah Habibul Rahman dan sesiapa yang berminat boleh membaca di Darul Kautsar atau melalui youtube di bawah tajuk umur Aisyah ketika berkahwin dengan Rasulullah.
 Semenjak kita sekolah kita didedahkan bahawa Rasulullah SAW berkahwin dengan Saidatina Khatijah ketika beliau berusia 40 tahun, sedangkan sejarah turut menyatakan Rasulullah SAW mendapat tujuh atau sesetengah riwayat menyatakan lapan anak.
 Bolehkah seseorang berusia 40 tahun ke atas kemudian sempat melahirkan anak tujuh orang?
 Kita juga didedahkan bahawa Rasulullah SAW berkahwin dengan Saidatina Aisyah ketika beliau berusia enam tahun, sebuah perkahwinan bawah umur.
 Perawi dalam hadis umur Aisyah iaitu Hisham bin Urwah tersangat berusia ketika dicatatkan hadis berkenaan. Banyak ulama mempertikaikan hadis Hisham ketika beliau terlalu berusia (melebihi 70 tahun) dan waktu itu tinggal di Iraq.
 Sesetengah ulama menyatakan Hisham Urwah telah tersilap mendengar enam belas kepada enam, dan sembilan belas kepada sembilan.
 Setelah dibuat kajian bahawa umur Aisyah bukan 6 tahun semasa dikahwini oleh Rasulullah SAW. dan bukan 9 tahun ketika bersama dengan Baginda SAW.
 Telah diberi beberapa hujah untuk membuktikan penemuan baru dalam sirah Nabi SAW iaitu :
 Hujah Pertama – Bertentangan Dengan Fitrah Manusia
 Hujah Kedua – Bertentangan Dengan Akal Yang Waras
 Hujah Ketiga – Tiada Contoh Ditemui Di Negeri Arab Atau Di Negeri Panas
 Hujah Keempat- Riwayat Ini Bukan Hadis Rasulullah S.A.W.
 Hujah Kelima – Riwayat Ini Diriwayatkan Oleh Hisham Selepas Fikirannya Bercelaru
 Hujah Keenam – Hanya Perawi Iraq Yang Menukilkan Riwayat Ini
 Hujah Ketujuh – Aishah r.ha Masih Ingat Ayat Al-Quran Yang Diturunkan Di Tahun Empat Kerasulan
 Hujah Kelapan – Aishah r.ha Masih Ingat Dengan Jelas Peristiwa Hijrah Abu Bakar r.a.. Ke Habshah
 Hujah Kesembilan – Aishah r.ha. Mengelap Luka Dan Hingus Usamah Bin Zaid r.a.. Yang Dikatakan Sebaya Dengannya.
 Hujah Kesepuluh – Ummul Mu’minin Aisyah r.ha. Turut Serta Di Dalam Peperangan Badar.
 Hujah Ke-11 – Aishah r.ha. Menyertai Perang Uhud Sedangkan Kanak-Kanak Lelaki Berumur Empat Belas Tahun Tidak Dibenarkan Menyertai Perang.
 Hujah Ke-12 – Aishah r.ha. Lebih Muda 10 Tahun Dari Kakaknya Asma, Da
n Semasa Peristiwa Hijrah Asma r.ha. Berumur 27 Atau 28 Tahun
 Hujah Ke-13 – Ahli Sejarah At-Tabari Mengatakan Aishah r.ha. Lahir Di Zaman Jahilliyah (Sebelum Kerasulan)
 Hujah Ke-14 – Aishah r.ha. Adalah Antara Orang-Orang Yang Terawal Memeluk Islam
 Hujah Ke-15 – Abu Bakar r.a. Bercadang Mengahwinkan Aishah r.ha. Sebelum Berhijrah Ke Habshah
 Hujah Ke-16 – Aishah r.ha. Disebut Sebagai Gadis Dan Bukan Kanak-Kanak Semasa Dicadangkan Untuk Bernikah Dengan Rasulullah SAW.
 Hujah Ke-17 – Rasullulah SAW Tidak Tinggal Bersama Aishah r.ha Kerana Masalah Mendapatkan Mahar, Bukan Kerana Umur Aishah Yang Terlalu Muda
 Hujah Ke-18 – Hadis Yang Mensyaratkan Mendapat Persetujuan Seorang Gadis Sebelum Dikahwinkan Memerlukan Gadis Tersebut Telah Cukup Umur.
 Hujah Ke-19 – Kebolehan Luar biasa Aishah r.ha Mengingati Syair Yang Biasa Disebut Di Zaman Jahiliyah Membuktikan Beliau . Lahir Di Zaman Jahiliyah.
 Hujah Ke-20 – Kemahiran Dalam Sastera, Ilmu Salasilah Dan Sejarah Sebelum Islam.
 Hujah Ke-21 – Keinginan Mendapatkan Anak Dan Naluri Keibuan Tidak Mungkin Timbul Dari Kanak-Kanak Bawah Umur.
 Hujah Ke-22- Aishah r.ha. Sebagai Ibu Angkat Kepada Bashar r.a. Yang Berumur Tujuh Tahun Selepas Perang Uhud.
 Hujah Ke-23- Wujudkah Perkahwinan Gadis Bawah Umur Di Tanah Arab Dan Dalam Masyarakat Bertamadun?
 Hujah Ke-24 – Kesepakatan (Ijmak) Umat Dalam Amalan.
 Marilah kita kembali memahami , meneliti dan mengkaji bukti-bukti sejarah Nabi SAW yang benar lagi sahih yang mana ianya telah di selewengkan oleh puak-puak Syiah dahulu hingga mengelirukan umat Islam seluruh dunia daripada dahulu hingga sekarang.
 Musuh-musuh Islam telah menggunakan fakta-fakta yang salah dan menggunakan fakta tersebut untuk mengecam peribadi Rasulullah SAW. Oleh itu para ulama Islam, sarjana Islam dalam bidang sejarah dan pakar ilmu hadis perlulah bersatu dan membukukan buku sejarah dan sirah Rasulullah SAW dan para sahabat yang betul dan sahih dan menolak sebahagian daripada fakta-fakta yang salah yang terdapat di dalam buku-buku sejarah Islam sekarang ini.