Al Insan: 2019-02-24

Rabu, 27 Februari 2019

Ilmu adalah Cahaya

"Nasihat itu amatlah perit bagi orang yang mencintai hawa nafsu, dan orang yang hatinya dipenuhi nur, akan berterima kasih apabila diberi nasihat kepadanya. Meminta nasihat itu mudah, tetapi untuk mendengar dan mengikuti nasihat itu tidaklah mudah."

"Orang-orang soleh yang hatinya dipenuhi cahaya, mereka sangat menghargai nasihat-nasihat yang datang kepada mereka. Dan kerana itu sebagai tambahan peringatan kepada mereka. Tetapi orang yang hatinya dikuasai hawa nafsu tidak akan suka kepada nasihat yang datang kepadanya."

"Maka, orang yang hatinya penuh dengan cahaya, akan bersyukur dan berterima kasih pada orang yang menasihatinya, kerana menunjukkan aib dirinya untuk berubah menjadi lebih baik. Sepertimana seseorang yang di dalam beg atau rumahnya ada ular berbahaya."

"Maka, dia akan berterima kasih pada orang yang menunjukkan ular itu. Tetapi orang yang takabbur didalam hatinya dia takkan percaya apabila dikhabarkan ada binatang berbisa dalam beg atau didalam rumahnya. Suatu hari, Imam Habib Abdullah Bin Hassan Al-Attas, masuk ke kota Syibam dan solat sunat dua rakaat."

"Kemudian datang seorang yang kasar akhlaknya dan lambat bacaan Fatihahnya, dan menyangka solatnya Habib Abdullah yang begitu ringkas tidak betul. Pemuda itu pun mengatakan; “Bagaimana kamu solat cepat sangat. Solat kamu ini tidak sah.”. Padahal Habib Abdullah ialah ulama yang mahir ilmu tentang empat mazhab."

"Tetapi setelah ditegur, beliau sedikitpun tidak marah kepada pemuda itu. Bahkan beliau bertanya apakah kekurangan solatnya pada mata lelaki itu. Lelaki itu pun mengatakan ada banyak silap. Imam Abdullah pun meminta diajarkan cara yang betul, dan lelaki itu pun mengajarkan mengikut caranya yang lambat bacaannya."

"Kemudian, Habib Abdullah pun solat sekali lagi seperti yang lelaki itu ajar dan meminta lelaki itu menilainya sekiranya itu betul. Setelah selesai solat, ramai yang kenal kepada beliau beratur untuk bersalam kepadanya. Lelaki itu pelik melihatnya dan bertempik; “Siapa yang kamu salam ini? Aku yang ajar dia solat?”

"Orang ramai bertanya; “Kepada siapa kamu ajarkan solat? Ini adalah imam besar yang mahir empat mazhab.” Lelaki itu berasa tersangat malu dan meminta maaf kepada Habib Abdullah. Namun, Habib Abdullah sedikitpun tidak marah, bahkan mengatakan; “Saya mendapat manfaat daripada kamu.”


"Inilah akhlak ulama, sedikitpun tidak mengherdik bahkan menerima nasihat tidak mengira daripada siapa. Orang-orang soleh merupakan ahli nur, dan mereka merasakan kelazatan, suatu kesedapan rohani, bila ada orang datang menasihati mereka."