Al Insan: 2011-07-31

Selasa, 2 Ogos 2011

WAktu Berbuka Puasa 2011

Jadual Waktu Berbuka Puasa dan Imsak Malaysia dan Negeri-Negri di Malaysia mengikut Zon untuk tahun 2011M/ 1432H :

  • Jadual Waktu Berbuka Puasa dan Imsak Johor @ JAKIM
  • Jadual Waktu Berbuka Puasa dan Imsak Melaka @ JAKIM
  • Jadual Waktu Berbuka Puasa dan Imsak Negri Sembilan @ JAKIM
  • Jadual Waktu Berbuka Puasa dan Imsak Selangor @ JAKIM
  • Jadual Waktu Berbuka Puasa dan Imsak Perak @ JAKIM
  • Jadual Waktu Berbuka Puasa dan Imsak Kedah @ JAKIM
  • Jadual Waktu Berbuka Puasa dan Imsak Pulau Pinang @ JAKIM
  • Jadual Waktu Berbuka Puasa dan Imsak Kelantan @ JAKIM
  • Jadual Waktu Berbuka Puasa dan Imsak Trengganu @ JAKIM
  • Jadual Waktu Berbuka Puasa dan Imsak Pahang @ JAKIM
  • Jadual Waktu Berbuka Puasa dan Imsak Sarawak @ JAKIM
  • Jadual Waktu Berbuka Puasa dan Imsak Sabah @ KULANZSALLEH
  • Jadual Waktu Berbuka Puasa dan Imsak Perlis @ JAKIM
  • Jadual Waktu Berbuka Puasa dan Imsak Labuan @ JAKIM

Isnin, 1 Ogos 2011

PUASA BAGI MUSAFIR


Dalam perintahNya mensyari'atkan ibadah puasa bulan Ramadhan, Allah Subhanahu waTa'ala telah memberikan pengecualian khas bagi sesiapa yang dalam perjalanan atau musafir. Firman Allah: (Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain (Maksud Surah al-Baqarah 02 - 184).
Allah Ta'ala mengulangi pengkhususan ini dalam ayat seterusnya: Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Maksud Surah al-Baqarah 02 - 185).
Daripada dua ayat di atas, dibolehkan berbuka atau tidak berpuasa apabila seseorang itu dalam suasana bermusafir atau berpergian. Dia hanya diwajibkan mengqadha semula bilangan hari yang tidak disempurnakan puasa Ramadhannya itu di masa yang lain asalkan bukan di hari-hari yang terlarang untuk berpuasa. Tidak ada perselisihan di kalangan ahli-ahli ilmuan dalam perkara ini kecuali berkenaan syarat-syarat yang berkaitan dengannya. Berikut dihuraikan rincian perkara-perkara yang bersangkutan antara ibadah puasa dan suasana musafir.
Musafir yang dibolehkan berbuka puasa
Musafir berasal dari perkataan safar dan ia dari sudut istilah fiqh didefinasikan sebagai: Suatu perjalanan dengan jarak dan tujuan tertentu yang memberikan pengaruh terhadap ketentuan sesuatu hukum.[1] Musafir yang membolehkan seseorang itu berbuka puasa dalamnya adalah sama syarat-syaratnya dengan musafir yang membolehkan solat-solat diqasar, sepertimana yang telah diterangkan terlebih dahulu dalam bab persoalan solat. Namun berikut dihuraikan semula secara ringkas syarat-syarat yang membolehkan seseorang itu mengkategorikan dirinya sebagai seorang musafir.
1. Jarak Perjalanan, iaitu apa-apa perjalanan yang jaraknya melebihi dari batas kebiasaan seseorang itu. Tidak ada dalil khusus yang menerangkan jarak perjalanan minimum bagi seseorang itu sebelum dia dikira sebagai seorang musafir. Allah Azza waJalla hanya mensyaratkan suatu perjalanan tanpa apa-apa syarat tambahan. Oleh itu telah menulis Shaikh Rashid Risda dalam kitab tafsirnya: Sudah kami jelaskan bahawa membuka puasa di bulan Ramadhan dibolehkan pada tiap-tiap yang ada di dalam bahasa yang dinamai musafir, baik pendek atau panjang, sebagaimana cepat yang dapat difikirkan dari bunyi ayat.( al-Baqarah 02, ayat 184); dan tidak didapati keterangan yang dapat dari sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang memberi batasan dari umum maksud ayat. [2]
Walaubagaimanapun dipersetujui para ahli ilmu bahawa bukanlah dinamakan musafir seseorang yang berulang-alik dalam pekan/kota/bandar tempat dia tinggal dan bermastautin. Ini didasarkan kepada perbuatan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang tidak mengqasar solat, atau berbuka puasa apabila dia berjalan-jalan di sekitar Kota Madinah. [3]
2. Tempoh Perjalanan , iaitu berapa lamakah dia berada dalam satu-satu perjalanan atau berapa lamakah dia menginap di destinasi ketibaannya. Maka dalam hal ini hukumnya adalah sama dengan syarat-syarat solat qasar, yakni seseorang itu tetap dikira sebagai seorang musafir walaupun setelah tiba ke destinasinya selama sekian-sekian hari asalkan dia tidak bermaksud untuk menetap di sana dan akan pulang apabila urusannya selesai. Seseorang yang tiba ke destinasi perjalanan lalu bermaksud untuk menetap atau mastautin di sana maka dia tidak lagi dikira sebagai seorang musafir dan wajib baginya melaksanakan hukum-hukum puasa seperti biasa. Tidak ada ketentuan pasti dari al-Qur'an atau as-Sunnah akan tempoh maksimum perjalanan atau penginapan seseorang itu apabila dia bermusafir. Drs. Abdul Ghani Azmi Hj. Idris menerangkan: Mengenai jarak jauh perjalanan yang membolehkan seseorang berbuka di bulan Ramadhan tidak ada satu ketentuan yang pasti dan muktamad; demikian pula mengenai tempuh perjalanan. [4]
Selain itu diperolehi juga dalil bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam kita ekspedisi Pembukaan Kota Mekah (Fath-ul-Mekah) tidak berpuasa selama lebih kurang 9 hari walaupun sepanjang misinya itu beliau hanya berada di sekitar Kota Mekah. Ini menunjukkan bahawa seseorang yang tiba ke destinasinya tetap masih mempunyai pilihan samada untuk berpuasa atau tidak . Dalil yang dimaksudkan itu adalah hadith berikut:
Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu berkata, Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam telah berperang dalam Pembukaan Kota Mekah dalam bulan Ramadhan. Beliau pada mulanya berpuasa dan apabila tiba ke al-Kadid (sebuah mata air) iaitu sebuah tempat antara Kudaid dan Usfan, beliau berbuka puasa dan kemudian tidak lagi berpuasa sehingga akhir bulan.[5]
Kiraan ahli sejarah menyatakan bahawa ekspedisi Pembukaan Kota Mekah bermula pada 20 haribulan Ramadhan dan dari itu dinukil kefahaman bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam tidak berpuasa apabila tiba ke Kota Mekah selama 9 atau 10 hari tanpa berpuasa.[6] Keseluruhan ekspedisi Pembukaan Kota Mekah mengambil masa selama 18 hari.
3. Tujuan Perjalanan. Para ahli fiqh membahagikan tujuan musafir itu kepada dua, pertama kerana tujuan kebajikan atau kedua kerana tujuan maksiat. Musafir kebajikan ialah seperti menunaikan amalan umrah / haji, menziarah saudara / rakan, menuntut ilmu dan berniaga manakala musafir maksiat ialah seperti ke Las Vegas semata-mata bagi bermain di Kasino dan lain-lain yang seumpama. Ulama'-ulama' Shafie, Malik, Hanbali dan lain-lain mensyaratkan bahwa kemudahan hukum agama dalam musafir hanyalah bagi tujuan kebajikan kerana mustahil agama Islam memudah serta menggalakkan musafir bagi tujuan kemaksiatan. Dalil mereka ialah firman Allah Ta'ala: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. (Maksud Surah al-Maidah 05 - 02). Ulama'-ulama' Hanafi serta sebahagian yang lain membolehkan musafir sekalipun bagi tujuan maksiat kerana dalil ayat al-Qur'an yang membolehkan berbuka ketika bermusafir tidak mensyaratkan tujuan apakah musafir itu. Bagi mereka musafir adalah dalam kategorinya yang sendiri manakala maksiat adalah juga dalam kategorinya yang sendiri.[7]
Bilakah boleh dimulai berbuka puasa ketika musafir ?
Seseorang itu diberikan kemudahan agama untuk memilih samada hendak terus berpuasa atau berbuka di kala bermusafir apabila sahaja dia telah bersiap sedia untuk memulakan perjalanan sekalipun masih berada di perkampungan asalnya.[8] Dua hadith berikut dijadikan sumber rujukan:
[01] Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu berkata, Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam berpergian ke Hunain di bulan Ramadhan dan di ketika itu sebahagian orang berpuasa dan sebahagian lain tidak berpuasa. Apabila Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam menaiki unta tunggangannya beliau meminta semangkuk susu atau air lalu beliau meletakkannya di atas pelana unta dan orang ramaipun memandang kepada beliau sehingga orang yang tidak berpuasa berkata kepada orang yang berpuasa - berbukalah kalian (kerana beliau telahpun berbuka).[9]
[02] Ubaid bin Jabr berkata, aku pernah bersama Abi Bashrah al-Ghifari radiallahu-anhu, seorang sahabat Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dalam sebuah kapal yang bertolak dari Kota Fusath (Mesir) pada bulan Ramadhan. Lalu Abi Bashrah dinaikkan ke atas dan dihidangkan sarapan pagi kepadanya. Ternyata bahawa Abi Bashrah apabila melepasi batasan perkampungan dia meminta hidangan makanan lalu berkata: Aku makan ! Lalu aku (Ubaid bin Jabr) bertanya kepada Abi Bashrah: Bukankah perkampungan masih terlihat ? Abi Bashrah menjawab: Apakah anda membenci sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam ? [10]
Kedua-dua hadith di atas menunjukkan bahawa seseorang yang akan menjalani suatu pergian dibolehkan untuk berbuka puasa apabila dia telah berada di atas kenderaannya atau sejurus setelah memulakan perjalanan. Dari dua hadith ini juga tersirat pengertian bahawa seseorang itu perlu tetap berpuasa pada satu-satu hari itu sekalipun dia sejak dari awal telah mempunyai rancangan untuk bermusafir. Ini adalah kerana kewajipan berpuasa itu tetap hadir di atas seseorang itu setiap hari sehinggalah dia memulakan perjalanannya kerana hanya di ketika itu sahajalah dia dikira sebagai seorang musafir, tidak sebelum itu.
Selain itu juga jikalau kita tinjau kepada sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan para sahabatnya radiallahu-anhum, kita akan dapati bahawa mereka semua memulakan hari mereka dalam keadaan berpuasa sekalipun mereka sedia ketahui bahawa perjalanan yang bakal diambil nanti pasti akan melalui suasana panas terik dan mukabumi yang bergurun, berbatu lagi tandus. Setelah berada di atas tunggangan atau setelah memulakan perjalanan barulah mereka mengambil kemudahan hukum agama ini, samada untuk terus berpuasa atau berbuka.
Demikianlah juga teladan yang perlu kita ikuti apabila hendak berpergian dalam satu-satu hari di bulan Ramadhan. Hendaklah kita tetap memulakan hari itu dengan berpuasa dan sebaik sahaja kita menaiki sesuatu kenderaan untuk memulai perjalanan seperti pesawat terbang atau keretapi atau apa-apa lain, barulah dipertimbangkan samada untuk terus berpuasa atau berbuka kerana kemudahan hukum musafir hanya bermula di ketika itu. Ini pada waktu yang sama adalah juga pilihan yang terbaik kerana seandainya perjalanan tersebut dibatalkan atau ditunda waktunya, tidaklah kita kerugian satu hari dari bulan Ramadhan tanpa berpuasa.
Manakah lebih baik - berpuasa atau berbuka ketika musafir ?
Pilihan samada untuk terus berpuasa atau berbuka ketika musafir adalah satu anugerah Allah Subhanahu waTa'ala kepada hamba-hambaNya. Anugerah kemudahan ini diberikan tanpa mensyaratkan sesuatu kesukaran atau kesulitan dalam perjalanan tersebut. Malah seseorang itu juga bebas memilih antara hendak berpuasa atau berbuka, sebagaimana terang hadith berikut ini:
Hamzah bin 'Amr al-Aslami radiallahu-anhu berkata, aku pernah bertanya kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam: Wahai Rasulullah ! Saya pemilik kenderaan (tunggangan) yang saya gunakan sendiri waktu berpergian dan juga saya sewakannya. Barangkali pada bulan Ramadhan ini saya akan gunakannya (untuk berpergian) kerana saya mempunyai kekuatan untuk berpuasa.
Saya masih muda dan saya rasakan berpuasa itu adalah lebih mudah bagi diri saya daripada menundanya lalu menjadi hutang bagi diri saya (yakni berbuka puasa dan mengqadhanya di lain masa-P). Wahai Rasulullah ! Apakah jikalau saya berpuasa lebih besar pahalanya atau berbuka sahaja (lebih baik) ?
Nabi sallallahu-alaihi-wasallam menjawab: Mana sahaja sesuka kamu wahai
Hamzah ! [11] Dalam satu riwayat lain yang seumpama dengan di atas, Nabi sallallahu-alaihi-wasallam menjawab: Jika engkau mahu silakan berpuasa dan jika engkau mahu silakan
berbuka. [12]
Dalam satu lagi hadith yang berasingan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam telah bersabda: Berbuka itu adalah kemurahan dari Allah Azza waJalla maka barangsiapa mengambilnya adalah baik tetapi sesiapa yang suka berpuasa juga tiada dosa atasnya.[13]
Hadith-hadith ini serta banyak lagi yang lain jelas menunjukkan bahawa berpuasa atau berbuka dalam perjalanan adalah merupakan pilihan seseorang itu dan setiap individu berhak membuat pilihannya sendiri. Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu berkata: Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam adakalanya berpuasa dan adakalanya tidak berpuasa dalam perjalanan. Oleh itu sesiapa yang suka bolehlah berpuasa dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa bolehlah berbuka.[14]
Anas bin Malik radiallahu-anhu juga pernah menerangkan: Kami pernah berpergian bersama Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, (di kalangan kami ada yang berpuasa dan ada yang berbuka) tetapi yang berpuasa tidak mencela yang berbuka dan yang berbuka tidak mencela yang berpuasa.[15]
Berdasarkan keterangan-keterangan di atas, Prof. Dr. Abdul Karim Zaidan merumuskan: Orang yang dalam keadaan musafir dan menempuh jarak yang membolehkan solat qasar dibolehkan untuk berbuka pada bulan Ramadhan, sesuai dengan kesepakatan para ulama' ; samada dia mampu untuk melakukan puasa atau tidak mampu; samada ada puasa itu memberatkan dirinya atau tidak. [16]
Akan tetapi jikalau seseorang itu menghadapi kesukaran dan kesulitan ketika berpuasa dalam perjalanan maka adalah sebaiknya untuk dia berbuka, walaupun kesulitannya itu hanya sedikit; berdasarkan kepada hadith berikut: Jabir bin Abdillah radiallahu-anhu berkata, Adalah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dalam satu perjalanan, lalu dia melihat serombongan manusia dan juga seorang lelaki yang diteduhi oleh mereka. Lalu Nabi bertanya: Mengapa ini ? Mereka menjawab: Dia sedang berpuasa.
Lalu Nabi sallallahu-alaihi-wasallam bersabda: Tidaklah satu kebaikan untuk berpuasa dalam perjalanan (sebegini).[17]
Apabila dalam puasanya seseorang itu menghadapi suasana kesusahan yang amat berat lagi membahayakan, maka puasanya menjadi haram dan berbukanya menjadi wajib berdasarkan hadith berikut:
Jabir bin Abdillah radiallahu-anhu berkata, bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam pernah keluar pada tahun pembukaan Mekah (Fath-ul-Mekah) lalu dia berpuasa dan orang ramaipun berpuasa bersamanya. Begitulah keadaannya sehingga sampai ke Kurail Ghamim. Lalu beliau diberi laporan bahawa orang-orang merasa amat payah berpuasa, dan kini mereka menanti keputusannya.
Lalu Nabi meminta semangkuk air lalu beliau minum dan orang ramai, setelah melihat sedemikian, ada sebahagian yang yang turut berbuka dan ada sebahagian yang terus berpuasa.
Kemudian sampailah berita kepada Nabi bahawa ada sebahagian orang yang masih berpuasa, maka Nabi sallallahu-alaihi-wasallam bersabda: Mereka itu orang-orang yang derhaka, mereka itu orang-orang yang derhaka.[18]
Berdasarkan hadith ini, telah berkata Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili: Dalam keadaan berlaku kemudaratan, berbuka puasa adalah wajib serta haram berpuasa.[19] Juga telah berfatwa Shaikh Muhammad bin Salih al-Othaimeen: Jikalau berpuasa mendatangkan suasana kesusahan yang teramat sangat kepada seseorang yang bermusafir, dia wajib berbuka dan menqadhakan semula di hari yang lain. Tetap berpuasa dalam keadaan sedemikian adalah haram hukumnya. [20]
Demikianlah penerangan bagi pilihan berpuasa atau berbuka ketika dalam suasana musafir. Secara ringkas, penerangan-penerangan di atas dapat dirumus kepada tiga kategori, iaitu:
1. Dibolehkan berpuasa atau berbuka ketika musafir tanpa sebarang syarat atau halangan.
2. Sebaiknya berbuka puasa apabila menemui kesukaran dalam musafir walaupun sedikit.
3. Wajib berbuka, haram jikalau enggan, apabila menemui suasana kesusahan yang amat berat lagi membahayakan ketika berpuasa dalam musafir.
Sementara pihak berpendapat bahawa puasa Ramadhan tetap baik dilaksanakan walaupun dalam keadaan musafir. Ini mereka dasarkan kepada hadith berikut: Barangsiapa tidak berpuasa sehari dari bulan Ramadhan tanpa keringanan yang diberikan oleh Allah untuknya, tidak dapat menggantinya oleh puasa setahun suntuk walaupun dia berpuasa (menqadhanya) setahun suntuk. [21] Maka ketahuilah bahawa riwayat ini sebenarnya adalah daif, tidak boleh digunakan sebagai hujah. Riwayat ini juga sebenarnya ditujukan kepada mereka yang sengaja tidak berpuasa tanpa alasan yang diizinkan agama.
Adakah terdapat perbezaan hukum musafir antara zaman dahulu dan zaman sekarang ?
Bagi menerangkan persoalan di atas, diturunkan hujah penerangan Prof. Dr. Yusuf Qardhawi yang lebih dari mencukupi sebagai jawapan. Hujah beliau:
Dibolehkan melakukan safar dengan kereta-api, kapal laut, kapal terbang dan semisalnya, termasuk apajua alat pengangkutan yang menyenangkan, yang sedia ada di zaman sekarang ini. Alat-alat pengangkutan tersebut tidak dapat mengugurkan kemudahan hukum yang telah ditetapkan oleh Islam. Ia adalah sadaqah Allah yang dilimpahkan kepada kita, oleh itu tidak memadai kita menolaknya.
Sebahagian orang yang tidak faham tentang fiqh berpendapat bahawa safar di zaman moden tidak sama dengan safar di zaman dahulu. Mereka tidak menganggap perjalanan yang dilakukan dengan alat pengangkutan moden merupakan safar, sehingga membolehkan pelakunya mendapat kemudahan hukum.
Mereka lupa bahawa hukum-hukum Islam tidak dapat digugurkan dengan pendapat semata-mata, khususnya masalah ibadat. Nas-nas syara' yang menerangkan tentang kemudahan hukum adalah bersifat terbuka, sebagaimana yang lainnya, dengan perkara yang jelas lagi pasti, iaitu safar. Sifat keterbukaan hukum tidak dihubung-kaitkan dengan masyaqah badaniah [kesulitan yang bersifat fisik], kerana ia tidak jelas dan tidak dapat dipastikan. Sebenarnya dengan kenderaan apapun, tidak bisa lepas dari masyaqah. Manusia apabila di kampung orang lain pasti merasakan adanya kesulitan atau tidak betah.
Orang yang melakukan safar pada zaman sekarang ini, menemui kesulitan-kesulitan yang lain, misalnya masalah ashabiyah dan psikologis sebagaimana yang dialami para musafir sekarang. Jadi masyaqah badaniyah bukanlah satu-satunya masyaqah.
Dalam kitabnya, Majmoo al-Fatawa, vol 25, ms 210, Syaikh-ul-Islam Imam Ibnu Taimiyah [728H] berkata: Menurut ijma' ulama musafir boleh berbuka, baik ia mampu berpuasa atau tidak mampu, baik ia sulit berpuasa maupun tidak sulit, bahkan walaupun bersafar dengan alat pengangkutan yang canggih dan ditemani oleh pembantunya, maka ia tetap boleh berbuka dan mengqasar shalat. [22]
Antara kesulitan masa kini ialah, musafir yang pantas melalui beberapa zon masa dalam tempoh hanya seketika, musafir searah dengan matahari menyebabkan waktu siangnya berjam-jam lamanya, kesulitan penyesuaian zon waktu bagi mereka yang tidak biasa bermusafir jauh, kesulitan mendapatkan makanan dalam musafir dan berbagai lagi. Semua ini dan apa-apa selainnya termasuk dalam kesulitan musafir yang dikenali oleh Islam dan oleh itu seseorang yang bermusafir, samada masa lalu atau masa kini atau masa akan datang, tetap tertakluk kepada kemudahan-kemudahan hukum musafir sebagaimana yang sedia disyari'atkan.
Berpuasa atau berbuka: Antara Ibadah dan Amanah.
Seperkara lain yang perlu dipertimbangkan dalam suasana kita berpuasa dan bermusafir dalam bulan Ramadhan ini ialah amanah yang dipikul atau tanggung-jawab yang dipegang. Ini khusus ditujukan kepada para pemandu bas ekspres, para pemandu lori, para pemandu keretapi, para juruterbang, anak-anak kapal serta sesiapa lain yang tugasnya dalam suasana musafir melibatkan amanah serta tanggung-jawab yang besar. Amanah yang mereka pegang itu tersangatlah besar keutamaannya di sisi Islam dan umat manusia umumnya dan mengenai amanah ini Allah Azza waJalla telahpun berfirman dalam al-Qur'an: Wahai orang-orang yang beriman, Janganlah kamu mengkhianati Allah dan RasulNya, dan (Janganlah kamu mengkhianati) amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya). (Maksud Surah al-Anfaal 8 - 27) Selari dengan perintah di atas juga, Imam al-Ghazali telah memperingatkan kita mengenai amanah sebagai: Termasuk dalam pengertian amanah ialah seseorang harus menjaga dan berusaha sekuat-kuatnya agar dia dapat merlaksanakan tugas kewajipan yang dipikulkan kepadanya dengan sempurna dan baik. Betapapun kecil kewajipan yang harus dilaksanakan, jikalau hal tersebut diremehkan pasti akan merugikan masyarakat dan selanjutnya akan megakibatkan rosaknya kehidupan umat.[23]
Apabila kerjaya seseorang itu melibatkan amanah serta tanggung-jawab yang berat dalam suasana musafir, maka sebaiknya dia menerima serta mengamalkan kemudahan-kemudahan hukum agama yang sedia ada agar dia dapat melaksanakan amanah tanggungannya dengan sempurna dan pada waktu yang sama menepati perintah-perintah agama. Dalam usaha kita menunaikan ibadah puasa, Allah Subhanahu waTa'ala telahpun memberikan kemudahan hukum samada mahu terus berpuasa atau berbuka maka oleh itu hendaklah kita mengamal-gunakan sepenuhnya kemudahan ini agar tidak terabai amanah atau tanggung-jawab yang sedia dipikul. Kesyumulan syari'at Islam tidak pernah memberatkan umatnya dengan sesuatu ibadah yang diluar kemampuan diri mahupun sesuatu yang memberikan akibat negatif kepada umat secara umumnya. Tidak bersusah payah dalam agama ditekankan oleh Allah Subhanahu waTa'ala di dalam al-Qur'an: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya (Maksud Surah al-Baqarah 02 - 286).
Dalam sebuah ayat yang lain Allah Azza waJalla telah juga berfirman: Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamaNya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan sudah payah dalam perkara agama. (Maksud Surah al-Hajj 22 - 78).
Senada dengan firman-firman Allah di atas, Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam juga telah menerangkan dalam hadith-hadith beliau bahawa Allah lebih menyukai seseorang yang menerima serta mengamalkan kemudahan Islam, bukan sebaliknya. Sabda beliau: Sesungguhnya Allah menyukai keringanan-keringanan hukumNya itu diamalkan sebagaimana Ia benci larangan-laranganNya dikerjakan. [24] Dalam konteks berpuasa pula, Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam telah menerangkan bahawa berbuka ketika musafir adalah lebih disukai, dengan sabda beliau: Berbuka itu adalah kemurahan dari Allah Ta'ala maka barangsiapa mengambilnya adalah baik tetapi sesiapa yang suka berpuasa juga tiada dosa atasnya. [25]
Daripada beberapa dalil yang dikemukakan di atas, jelas kepada kita bahawa Islam tidak sekali-kali memberatkan umatnya dengan sesuatu yang melebihi kemampuan seseorang itu. Daripada dalil-dalil ini juga sedia difahami bahawa jikalau seseorang itu diberikan pilihan kemudahan hukum agama, maka hendaklah dia memilih yang lebih mudah apabila dia berhadapan dengan suasana yang amat menjemput kepadanya. Dalam ertikata lain, seseorang yang bermusafir dan pada waktu yang sama dia memikul amanah serta tanggung-jawab maka adalah lebih mendekati ruh tuntutan syari'at apabila dia berbuka puasa demi menjaga kesempurnaan amanah tanggungannya.
Shaikh Abdullah bin Abdul Rahman al-Jibreen menulis: Jikalau seseorang itu berpuasa dan bermusafir; dan dia pula dipertanggungkan ke atas seseorang yang lain, atau diamanahkan dengan sesuatu tugas, maka orang yang sedemikian adalah lebih baik jikalau dia berbuka. Orang yang sedemikian ini, akan tetap diberikan ganjaran yang setimpal, asalkan sahaja dia menqadha balik puasanya itu. [26]
Perlu dijernihkah kekeruhan segelintir pendapat yang menyatakan bahawa jikalau sesuatu amal itu dilaksanakan dalam suatu suasana atau keadaan yang sulit lagi sukar, maka dia akan memperolehi ganjaran pahala yang lebih berganda, dan itulah yang dihendaki oleh agama. Ada pula yang menambah, jikalau seseorang itu tetap berusaha dengan sesuatu amalan yang menyusahkan, maka maqam atau derajat atau martabatnya akan menjadi lebih tinggi, lebih mulia. Lebih dari itu, ada yang menbahagi-bahagikan kedudukan umat Islam ini berdasarkan kesanggupan seseorang itu bersusah-payah beramal; kepada tiga peringkat, iaitu orang awam - orang khusus - dan orang khusus al-khusus ! Pendapat-pendapat ini sebenarnya hanyalah pendapat semata-mata, tidak mempunyai dalil sokongan malah bertentangan pula tuntutan sebenar agama Islam sebagaimana dalil-dalil al-Qur'an serta as-Sunnah yang telah dikemukakan di atas. Keimanan serta amal salih yang akan membawa seseorang itu ke syurga bukanlah dengan sesuatu yang menyusahkan atau memberatkan. Ini jelas terbukti dengan firman Allah Subhanahu waTa'ala:
Dan orang-orang yang beriman serta beramal salih - (dengan tidak menjadi keberatan kepada mereka, kerana) Kami tidak memberati diri seseorang (dengan kewajipan) melainkan sekadar yang terdaya olehnya, - merekalah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya. (Maksud Surah al-A'raaf 07 - 42).
Selain itu juga kajian terhadap keseluruhan ruh ajaran Islam akan memberikan kefahaman bahawa Islam sememangnya mengamalkan konsep terbuka lagi toleran dalam hal-hal ibadah manakala dalam hal-hal amanah pula Islam menonjolkan sikap tegas lagi tidak bertolak-ansur. Malah antara dosa yang tidak akan diampun serta yang akan dibawa ke Hari Perhitungan nanti ialah dosa mengabaikan amanah dan tanggung-jawab seseorang terhadap orang lain.
Akhir kata perlu ditekankan di sini bahawa seseorang itu tidak seharusnya membelakangkan amanah yang dipikulnya semata-mata kerana merasakan ibadah puasanya adalah lebih utama. Seseorang itu wajib mempertimbangkan antara ibadah puasanya dan amanah tanggungannya berdasarkan ilmu yang sahih lagi benar, bukan rasa-rasa atau pendapat sahaja. Kisah berkut dijadikan contoh teladan serta penutup perbincangan ini -
Anas bin Malik radiallahu-anhu berkata, kami pernah bersama Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dalam satu perjalanan dan (disebabkan cuaca panas terik) seseorang itu hanya dapat berteduh di bawah bayangan yang dibuat oleh pakaiannya sendiri. Orang-orang yang berpuasa tidak melakukan apa-apa kerja manakala orang-orang yang tidak berpuasa menyediakan makanan untuk unta-unta dan membawakan air untuk mereka dan juga merawati orang-orang yang sakit atau tercedera.
(Melihat yang demikian) maka Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam bersabda: Hari ini orang-orang yang tidak berpuasa mendapat semua ganjaran kebajikan.[