Al Insan: 2010-07-25

Jumaat, 30 Julai 2010

BERCERITA DAN FIKIR



Pada suatu hari yang nyaman, dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa, sebuah keluarga besar telah pergi piknik di tepi pantai. Keluarga ini merupakan keluarga yang kaya raya. Ada tauke balak, ada tauke minyak, ada tauke minyak sawit, ada tauke getah, ada tauke emas dan macam- macam lagi. Namun, tidak mungkin dalam satu bakul buah itu, semuanya elok, pasti ada jugak yang busuk.


Sebenarnya kehidupan adik-beradik ini mula goyah selepas bapa mereka dibunuh secara kejam di Turki. Kehidupan mereka mula bertelagah sesama sendiri. Bagi abang-abang yang kaya, mereka melupakan adik- adik mereka yang miskin. Bagi adik-adik yang mula belajar hidup berdikari, maka berusahalah mereka membantu adik-adik yang miskin itu semampunya sambil menempelak abang-abang mereka yang mula lupa diri.


Satu hari, semasa keluarga ini berpiknik, seorang adik perempuan mereka telah diculik dan telah dicabul dengan kejam. Perlakuan ini berlaku di depan khemah abang-abang yang kaya ini. Pencabulan si adik
itu dilakukan oleh sekumpulan pendatang haram yang suka membuat kacau kehidupan orang lain. Adik-adik yang lemah ini hanya mampu memandang dengan kesayuan. Tetapi si abang-abang hanya melihat dengan keseronokan adik perempuan mereka dicabul kehormatannya di hadapan khemah mereka sendiri.


Tidak lama selepas itu pula, salah seorang adik lelaki mereka pula telah lemas dihanyut ombak. Salah seorang daripada mereka cuba menyelamatkan si adik yang lemas itu tetapi dihalang oleh abang atas alasan, marilah bawak berbincang dahulu. Jangan terburu-buru, bahaya. Akhirnya, di saat adik perempuan mereka diratah dengan penuh nafsu oleh sekumpulan pendatang haram itu, dan adik lelaki pula hampir kelemasan di tengah lautan, mereka telah duduk berbincang sambil makan makanan yang mewah-mewah dan minuman yang lazat-lazat.


Tajuk persidangan kita hari ini adalah, "Cara-cara menyelamatkan adik
perempuan yang dirogol dan adik lelaki yang kelemasan." Itulah kata
si abang sulung selaku pengerusi majlis.


Adik-adik yang lebih muda dengan bersemangat hendak terus bergadoh dengan pendatang-pendatang haram tersebut, dan juga tanpa
menghiraukan keselamatan, ingin sahaja terus menyelamatkan adik
lelaki mereka yang semakin kelemasan itu. Tetapi dengan tenang si
abang-abang berkata,"Inilah orang muda, suka sangat ikut perasaan.


Cuba sikit hormat orang tua. Kita ambik jalan yang lebih berdiplomasi."
Akhirnya, si abang berjumpa dengan ketua pendatang haram tersebut.
"Ini resolusi kami. Jangan rogol adik kami lagi. Kalau nak sangat tubuh adik kami pun, cuba hentikan rogol tu dulu. Kita buat gencatan nafsu." Maka mereka pun berbincang. Sambil berbincang itu, pencabulan terhadap adik perempuan itu masih berjalan sambil ditonton oleh adik- beradik yang lain.


Tentang si adik lelaki yang kelemasan, seorang dari mereka cuba mendapatkan bot penyelamat, tapi dihalang oleh abang yang lain.
"Hoi monyet...senyaplah... pengkhianat!" Getus hati si adik yang tidak puas hati kerana bot penyelamat yang ada telah dibocorkan oleh abang-abang mereka.


Akhirnya adik-adik berdarah muda telah diketepikan. Bagi si abang, adik berdarah muda merosakkan keadaan sahaja. Adik-adik muda ada yang dikenakan akta Ikut Suka Aku, dikhatankan buat kali kedua, dirosakkan
khemahnya dan pelbagai lagi. Manakala, adik-adik perempuan muda pula ditakut-takutkan akan hilang kehormatannya.


Keadaan semakin genting. Adik-beradik tadi melakukan mesyuarat kununnya tergempar pula. Kali ni mereka agak sepakat. "Kami mengutuk
sekeras-kerasnya tindakan pendatang haram mencabul adik perempuan kami."

"Selamatkan adik kami yang kelemasan."


Tetapi mereka hanya memasang banner di sepanjang pantai tersebut. Dengan harapan, ada orang yang akan membantu mereka. Adik perempuan mereka semakin terus dicabul. Pakaian adik perempuan mereka sudah tidak ada lagi di tubuh. Adik-beradik tadi hanya terus menonton drama cabul mencabul itu dari dekat selepas bermesyuarat yang kununnya tergempar itu.


Adik lelaki mereka pula sekiranya tadi tangannya kelihatan, kini seolah-olah sudah hampir mati. Hanya menunggu malaikat maut datang mengambil nyawa. Lalu, diangkatlah lagi banner "Selamatkanlah adik kami yang kelemasan" setinggi-tingginya dengan harapan ada orang lain yang membantu.


Bila melihat banner itu tidak berkesan. Mereka bermesyuarat lagi. Dan mereka mengeluarkan banner yang baru. Yang lebih cantik dan mahal. Adik perempuan terus dinodai. Adik lelaki sudah semakin hanyut di tengah lautan... adik-beradik lain pula terus bermesyuarat dan mesyuarat untuk menghasilkan banner dengan wording yang lebih menarik....


Itulah kisah keluarga besar di satu tempat yang dirahsiakan namanya.


catatan :


+ adik perempuan itu bernama Palestin.

+ adik lelaki itu bernama Iraq

+ abang-abang itu Pengerusi OIC (Cuba teka siapa?) & negara-negara Arab yang kaya raya

+ adik-adik yang senyap itu negara umat Islam yang membangun / mundur.

+ adik-adik yang berdarah muda itu gerakan-gerakan Islam

+ mesyuarat itu pula ada mesyuarat OIC

Ahad, 25 Julai 2010

KESILAPAN YANG BERLAKU DI SEKITAR SOLAT

“Maka datanglah sesudah mereka,pengganti (yang buruk) yang mensia-siakan solat
dan memperturutkan hawa nafsu,maka kelak mereka akan menemui kesesatan”
(Surah Maryam: Ayat 59)

“Akan datang satu masa atas manusia,di mana mereka mengerjakan solat,yang sebenarnya mereka tidak mengerjakan solat”
(Hadis riwayat Imam Ahmad)


Imam Asy-Syafi’i, beliau berkata:(Mazhab syafie)
“Setiap masalah yang jika di dalamnya terdapat hadits shahih dari Rasulullah Shalallahu alaihi wa sallam menurut para pakar hadits, namun bertentangan dengan
apa yang aku katakan, maka aku rujuk di dalam hidupku dan setelah aku mati.”
(Al-Hilyah 9/107, Al-Harawi, 47/1)


Dari Abdullah bin Amr bin Ash Radhiyallahu anhu:
“Dan sesungguhnya Bani Israil telah berpecah menjadi 72 golongan dan umatku akan
terpecah menjadi 73 golongan. Semua mereka akan masuk neraka kecuali satu golongan
yang selamat. Para sahabat bertanya: “Siapakah mereka yang selamat itu ya
Rasulullah?” Rasulullah SAW menjawab: yaitu golongan yang mengikuti aku, ada
padanya hari ini dan yang mengikuti para sahabatku.”


Sembahyang atau dikenali juga dengan perkataan “Solat”, adalah kewajipan kita yang
mengaku diri sebagai orang Islam. Solat merupakan tiang agama dan merupakan suatu
tanggungjawab yang menentukan apakah seseorang itu Islam atau kafir. Jadi, orang yang
meninggalkan solat, ia adalah kafir, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: "Pemisah diantara kita dan mereka (orang kafir) adalah solat. Barangsiapa meninggalkan solat maka sesungguhnya dia telah kafir." (Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Dawud, Termidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah).

Rasulullah SAW, sebelum wafat, meninggalkan wasiat: “Jagalah solat. Jagalah solat.
Jagalah solat…………….” Sayangnya kita umat Islam hari ini, tidak “menjaga solat”
sebagaimana yang diwasiatkan oleh Rasulullah SAW. Kita mengerjakan solat ala kadarnya
sahaja. Seperti “melepaskan batuk di tangga”. Kita mengerjakan solat, tetapi jiwa kita tidak
pernah “menyentuh” makna solat dengan sebenar-benarnya. Kita tidak “bertemu” dengan
Allah. Kita tidak “bercakap-cakap” dengan Allah.Sabda Rasulullah SAW: Ketika melaksanakan solat, seorang hamba bercakap mesra dan akrab dengan Allah.
(Hadis riwayat Imam Bukhari & Muslim).

Rasulullah SAW tahu bahawa di suatu ketika nanti, umatnya akan mensia-siakan solat,
umatnya tidak lagi ‘menjaga solat’. Dan ini boleh diperhatikan melalui sabda baginda SAW:
“Akan datang satu masa atas manusia, di mana mereka mengerjakan solat, yang
sebenarnya mereka tidak mengerjakan solat!” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Di depan mata saya, berbagai ragam kesalahan dilakukan oleh orang yang mengerjakan solat. Yang paling nyata, ramai di kalangan mereka solat tanpa menitik beratkan thuma’ninah. Langsung tidak ada ketenangan ketika mereka mengerjakan solat. Mereka solat nak cepat selesai. Mereka solat seperti melepaskan ‘beban’ yang terpaksa dipertanggung-jawabkan kepada mereka sebagai umat Islam. Waktu rukuk, rukuknya ala kadar sahaja. Waktu i’tidal, belumpun benar-benar berdiri lurus, dah nak sujud. Waktu sujud, kepala terlalu menungging, dahi dan hidung tidak kena tempat sujud. Malah ada juga imam jema’ah yang termasuk dalam golongan ‘tidak menitik beratkan
thuma’ninah’ ini.
Hal-hal ini berlaku di depan mata saya. Saya tidak mempunyai kekuatan untuk menegur
mereka. Siapalah saya kalaupun saya mahu menegur mereka! Sempurna sangatkah cara
solat saya? Akan tetapi, sekiranya saya tidak menegur mereka, saya tetap menanggung dosa kerana membiarkan kesalahan yang mereka lakukan.
Solat yang dilakukan itu semakin menjauhkan kita dari Allah.
Firman Allah: “Maka celakalah bagi orang-orang yang solat (yaitu) orang-orang yang lalai daripada solatnya.”
(Surah Al-Ma’un ayat 4–5)


Mengapakah demikian? Jawapannya sudah pastilah kerana solat yang dilakukan tidak
mengikuti apa yang diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW, baik dari mula takbirnya,
qiyamnya, rukuknya, i’tidalnya, sujudnya, khusyuknya dan segala perkara yang
bersangkutan dengan solat itu sendiri.

Marilah kita perhatikan tiga buah hadis di bawah ini:
1. Sabda Rasulullah SAW: “Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat.”
(Hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Ahmad)
2. Dari Hudzaifah Radhiyallahu anhu, bahawa dia melihat seorang lelaki solat yang tidak sempurna rukuk dan sujudnya. Setelah lelaki itu selesai solat, Hudzaifah
Radhiyallahu anhu, berkata kepadanya: “Sebetulnya engkau tidak solat. Kalau
engkau mati (dengan mengerjakan solat yang sedemikian rupa), maka engkau
mati bukan di dalam agama Muhammad SAW.” (Hadis riwayat Imam Bukhari)
3. Dari Abdullah Ibn Qurath Radhiyallahu anhu, Rasulullah SAW bersabda: “Yang
pertama sekali akan dihisab pada hari kiamat adalah solat. Jika solatnya
sempurna, maka sempurnalah seluruh amalannya. Dan jika solatnya buruk, maka
buruklah amalan-amalannya yang lain.” (Hadis riwayat Imam Thabrani)

Hadis Pertama: “Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat”. Macam mana
kita hendak melihat cara Rasulullah SAW solat? Caranya ialah dengan berdasarkan hadishadis Rasulullah SAW yang sememangnya wajib kita ambil tahu. Kita ini namanya
beragama Islam, akan tetapi kitab hadispun kita tidak pernah tengok, apatah lagi kita hendak memilikinya atau simpan di rumah untuk dijadikan rujukan. Na’uzubillah………Sebab
itulah cara solat kita jauh menyimpang daripada tunjuk ajar Rasulullah SAW yang
sebenarnya.
Maka dengan itu, termasuklah kita ke dalam golongan “Sebetulnya engkau tidak solat.
Kalau engkau mati (dengan mengerjakan solat yang sedemikian rupa), maka engkau mati
bukan di dalam agama Muhammad SAW.” Sebagaimana yang dimaksudkan dengan hadis
yang kedua, golongan ini memang ramai di kalangan kita. Solat tanpa memerhatikan
“thuma’ninah”. Solat hendak cepat selesai. Solat ekspres! Malah ramai di kalangan
imam jemaah pun tidak memerhatikan “thuma’ninah” ini.
Maka dengan itu, buruklah segala amalan kita. “Yang pertama sekali akan dihisab pada
hari kiamat adalah solat. Jika solatnya sempurna, maka sempurnalah seluruh amalannya. Dan jika solatnya buruk, maka buruklah amalan-amalannya yang lain.”Na’uzubillah……………… Ini kerana kita mengerjakan solat tanpa adanya ilmu yang sewajarnya.

KESILAPAN-KESILAPAN BIASA DILAKUKAN SEKITAR SOLAT
1. SOLAT TANPA ILMU

Orang yang mengerjakan solat tanpa ilmu tergolong dalam golongan orang yang tidak dapat dimaafkan kerana “kebodohan beragama”. Ramai di kalangan kita mengerjakan solat tanpa ilmu. Orang solat, kitapun solat. Kita tidak pernah mahu ambil tahu tentang ilmu solat –ilmu tentang tatacara Nabi Muhammad SAW mengerjakan solat sebagaimana pesan baginda SAW: “Solatlah kamu sebagaimana kamu lihat aku solat”.Islam menitik-beratkan ilmu. Ilmu itu wajib didahulukan atas amal, kerana ilmu merupakan petunjuk dan pemberi arah amal yang akan dilakukan. Imam Bukhari meletakkan satu bab tentang ilmu dalam Jami' Shahihnya, dengan judul "Ilmu itu Mendahului Perkataan dan Perbuatan." Para pemberi syarah atas kitab ini menjelaskan bahwa ilmu yang dimaksudkan dalam judul itu hendaklah menjadi syarat bagi keshahihan perkataan dan perbuatan seseorang.
Kedua hal itu tidak dianggap shahih kecuali dengan ilmu; sehingga ilmu itu didahulukan atas keduanya. Ilmulah yang membenarkan niat dan membetulkan perbuatan yang akan dilakukan. Mereka mengatakan: "Imam Bukhari ingin mengingatkan orang kepada
persoalan ini, sehingga mereka tidak salah mengerti dengan pernyataan 'ilmu itu tidak
bermanfaat kecuali disertai dengan amal yang pada gilirannya mereka meremehkan ilmu
pengetahuan dan enggan mencarinya."

2. TIDAK MEMERHATIKAN KESEMPURNAAN WUDHUK

Ramai di kalangan kita tidak memerhatikan kesempurnaan wudhuk. Mereka berwudhuk ala
kadarnya sahaja. Malah ramai di kalangan kita tidak mengetahui ilmu berwudhuk dengan
sebenar-benarnya. Apa yang fardhu dan apa pula yang menjadi sunnahnya. Kesempurnaan
solat bermula daripada kesempurnaan wudhuk!Orang yang berwudhuk akan mendapatkan wajah yang bercahaya di akhirat kelak, sehingga Rasulullah SAW akan mengenali mereka sebagai umatnya. Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah Radiyallahu anhu, ia berkata : “Aku pernah mendengar kekasihku Rasulullah SAW bersabda: ‘Kemilau cahaya seorang mukmin (kelak pada hari kiamat) sesuai dengan batas basuhan wudhuknya.”
Dari Abu Hurairah Radhiyallahu anhu, ia berkata bahwa ia pernah mendengar Rasulullah
bersabda : “Sungguh umatku kelak akan datang pada hari kiamat dalam keadaan (muka
dan kedua tangannya) kemilau bercahaya kerana bekas wudhuk. Kerananya, barangsiapa dari kalian yang mampu memperbanyak kemilau cahayanya, hendaklah dia melakukannya (dengan memperlebar basuhan wudhuknya)” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Berikut merupakan fardhu wudhuk:
Wudhuk memiliki beberapa fardhu dan rukun yang ditertibkan secara berurutan. Jika ada
salah satu di antara fardhu tersebut yang tertinggal, maka wudhuknya tidak sah menurut
syariat. Fardhu wudhuk tersebut adalah sebagai berikut:
A. Niat -
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya amal perbuatan itu
bergantung pada niatnya” (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim). Niat adalah
kemahuan dan keinginan hati untuk berwudhuk. Juga pada apa yang disebutkan pada hadis, bahwa niat itu bermuara pada hati, sedangkan melafazkannya bukanlah merupakan sesuatu yang disyariatkan.
B. Membasuh Wajah atau Muka -
Kewajiban membasuh wajah atau muka di dalam
berwudhuk itu hanya sekali. Yaitu dari bahagian atas dahi sampai bahagian dagu yang
bawah dan dari bahagian satu telinga ke bahagian bawah telinga yang lain.
Sebagaimana difirmankan oleh Allah Azza wa Jalla: “Wahai orang-orang yang beriman,
apabila kalian hendak mengerjakan solat maka basuhlah muka.” (Surah Al-Maidah:
ayat 6) Air wudhuk itu harus mengalir pada wajah atau muka, kerana mengalir di sini
bererti mengalirkan airnya ke serata wajah atau muka.
C. Membasuh kedua tangan sampai ke siku -
Iaitu sampai ke siku dan yang diwajibkan hanya satu kali saja, sebagaimana firman Allah Ta’ala: “Kemudian tangan kalian sampai ke siku” (Surah Al-Maidah : ayat 6)
D. Mengusap Kepala -
Pengertian mengusap kepala adalah membasahi kepala dengan air. Hal ini seperti difirmankan oleh Allah Ta’ala : “Dan usaplah kepala kalian”
(Surah Al-Maidah: ayat 6). Dari Ali bin Abi Thalib Radhyiallahu anhu diriwayatkan
mengenai sifat wudhuk Nabi SAW, beliau mengatakan: “Beliau mengusap kepalanya satu
kali” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud, At-Termidzi dan An-Nasa’i dengan isnad sahih).
Bahkan Imam At-Termidzi mengatakan bahwa yang lebih betul (benar) mengenai usapan
kepala adalah sebanyak satu kali saja. Selanjutnya, ada tiga cara yang diperoleh dari
Rasulullah SAW, yaitu:
a. Mengusap Seluruh Kepala, di dasarkan pada riwayat: Dari Abdullah bin Zaid bin
Ashim Radhiyallahu anhu, beliau berkata : “Rasulullah SAW mengusap kepalanya dengan
kedua tangan, dari arah depan ke belakang dan dari arah belakang ke depan
(Hadis Muttafaq ‘Alaih)
Dalam lafaz yang lain menurut riwayat keduanya (Imam Bukhari dan Muslim), “Beliau
memulai dari bahagian depan kepalanya hingga menjalankan kedua tangannya ke
tengkuknya kemudian mengembalikan ke tempat semula”
Selain itu juga disyariatkan untuk menyertakan telinga pada saat mengusap kepala :Dari Abdullah bin Amr Radhiyallahu anhu, beliau berkata: “Kemudian beliau (Rasulullah SAW) mengusap kepalanya dan memasukkan kedua jari telunjuk ke dalam telinganya serta mengusap bahagian luar telinganya dengan kedua ibu jarinya.”
(Hadis riwayat Imam Abu Dawud dan An-Nasa’i serta disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah)
b. Membasuh Bahagian Atas Serban. Hal ini di dasarkan pada hadis yang diriwayatkan
dari Amr bin Umayyah Radhiyallahu anhu, di mana ia menceritakan: “Aku pernah melihat
Rasulullah SAW mengusap bahagian atas serban dan kedua kakinya” (Hadis riwayat
Imam Bukhari, Ibnu Majah dan Imam Ahmad). Berdasarkan pada hadis ini, maka wanita
muslimah diperbolehkan membasuh muka dan mengusap bahagian atas kerudungnya dengan
air.
Kerana yang menjadi hukum utama dalam hal ini adalah mengusap kepala. Pada sisi lain diperbolehkan membasuh bahagian depan kepala,sesuai dengan hadis dari Anas bin Malik Radhiyallahu anhu, di mana ia menceritakan :“Aku pernah melihat Rasulullah SAW berwudhuk sedang beliau memakai serban dari Qatar. Maka beliau menyelipkan tangannya dari bawah serban untuk menyapu kepala bahagian depan, tanpa melepas serban itu. (Hadis riwayat Imam Abu Dawud)

Kaki -
Yaitu membasuh kaki hingga mencapai kedua
mata kaki. Hal ini didasarkan pada firman Allah Azza wa Jalla: “Basuhlah kedua kaki
kalian sampai kedua mata kaki” (Surah Al-Maidah : ayat 6)
Demikian itulah yang senantiasa dilakukan oleh Rasulullah SAW, sebagaimana diriwayatkan oleh Umar Radhiyallahu anhu :“Rasulullah SAW pernah tertinggal di belakang kami dalam suatu perjalanan. Pada saat itu kami mengetahui datangnya waktu ‘asyar. Kemudian kami berwudhuk dan membasuh kedua kaki kami. Sambil melihat ke arah
kami, beliau berseru dengan suara keras mengatakan: “dua atau tiga kali!” Celakalah
bagi tumit-tumit (yang tidak kena air) dari siksaan api neraka”.
(Hadis Muttafaq ‘Alaih)
Para sahabat Rasulullah SAW telah bersepakat untuk membasuh kedua tumit hingga mata
kaki.

F. Tertib -
dalam membasuh anggota-anggota tubuh di atas. Sebagaimana disebutkan
dalam surah Al-Maidah: ayat 6: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kalian
hendak mengerjakan solat, maka basuhlah muka dan tangan kalian sampai ke siku.
Kemudian sapulah kepala kalian serta basuhlah kaki kalian sampai kedua mata kaki”


Bersambung